TEMBURONG, 30 JULAI – Awang Muhammad Aliy Khindir bin Mahzuni dari Sekolah Rendah Rataie, Mukim Bokok yang membawa lagu Seroja muncul juara dalam Pertandingan Bintang Kecil Karaoke 2019 yang diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, baru-baru ini.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Bryan Iman anak Lekong dari Sekolah Rendah Amo dengan lagu Putus Terpaksa dan Awang Ahmad Rawi bin Arbi dari Sekolah Rendah Negalang berada di tempat ketiga dengan menyanyikan lagu Sambutlah Kasih.
Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Pemeliharan Infrastruktur Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Siasa bin Tambah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 itu telah menerima sebanyak 10 penyertaan dari lapan buah sekolah rendah kerajaan di Daerah Temburong.
Kenyataan menjelaskan, antara objektif pertandingan adalah untuk memberi peluang kepada murid-murid di peringkat rendah untuk mengetengahkan bakat dalam seni nyanyian dan juga melatih murid-murid untuk lebih berani di hadapan khalayak ramai.
Acara malam itu dimulakan dengan persembahan nyanyian daripada Pasukan Koir Sekolah Rendah Negalang, kemudian diteruskan dengan pertandingan nyanyian genre bebas daripada 10 peserta berkenaan dan diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh Pasukan Koir Sekolah Rendah Selangan.
Hakim-hakim pertandingan terdiri daripada tiga orang tenaga pengajar Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar yang menilai tiga aspek iaitu tempo, suara dan gaya.
Pemenang-pemenang tempat pertama hingga kelima membawa pulang pingat dan hadiah berupa wang tunai manakala itu, pemenang keenam hingga ke-10 menerima hadiah sagu hati.
