LONDON, 30 JUN – Pembangunan semula kawasan ikonik Battersea Power Station di sini yang diterajui oleh konsortium Malaysia, akan dilengkapi dengan lif serombong kaca baharu yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan 360 darjah ruang udara London selain menjadi antara 10 destinasi utama bandar raya itu pada 2021.
Ketika berkongsi keunikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Corporation (BPSDC) Simon Murphy berkata projek itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan stesen Zon 1 London Underground Station baharu digunakan oleh perkhidmatan kereta api Northern Line dan Thames Clippers River Bus yang beroperasi sejak tahun lepas.
“Kami menjangkakan kawasan ini dapat dibuka pada separuh pertama 2021 dan dikunjungi seramai 40 juta orang setiap tahun,” katanya dalam satu temu bual dengan media di sini.
Mengulas selanjutnya, Murphy berkata lif yang boleh membawa sehingga 30 orang pada satu-satu masa, juga adalah satu-satunya di London yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan menarik kota berkenaan.
“Lif itu berada pada jarak 109 meter sehingga ke puncak serombong asap ikonik itu dan memberi peluang kepada pengunjung menikmati pemandangan menarik kota London dari arah Sungai Thames,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran untuk mengekalkan Battersea Power Station yang juga bekas stesen janakuasa, beliau berkata bangunan itu kaya sejarah dan nilai warisan tersendiri di hati ramai warga London.
Atas alasan itu, pihaknya berusaha sedaya upaya dan sebaik mungkin untuk memastikan bangunan ikonik itu dapat terus mengekalkan legasinya. – Bernama