Penyanyi Ara Johari, mengakui dia semakin seronok menjalankan tanggungjawab sebagai ‘ibu’ kepada anak damit berusia tujuh bulan, Siti Nur Aishah.
Turut membawa bersama anak damit itu ketika menjayakan siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 di KOMTAR JBCC, baru-baru ini, Ara berkata, dia mula menjaga anak damit itu selepas ibu kandungnya selesai menjalani proses berpantang.
“Saya bergilir-gilir menjaga Siti Nur Aishah dengan ibunya sejak usianya 44 hari. Kebetulan, ibu saudaranya turut mengendalikan kelab peminat saya, jadi hubungan kami bertambah dekat. Saya memang sukakan kanak kanak, malah kehadiran Siti Nur Aishah membuatkan hidup saya lebih bermakna,” kata Ara yang sempat menghiburkan peminat dengan dua lagu, termasuk Bunga.
Penyanyi lagu Warkah Untukku yang juga calon awal Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 32 itu berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki anak angkat.
“Tetapi, ibu agak keberatan memandangkan saya baru berusia 22 tahun. Namun, adanya Siti Nur Aishah, dapat juga saya menumpang kasih. Jika tidak sibuk, saya akan menjaga Siti Nur Aishah. Selepas ibunya selesai berpantang, baru saya diizinkan untuk membawa dia keluar berjalan-jalan. Seronok rasanya apabila setiap kali dapat meluangkan masa bersama Siti Nur Aishah,” katanya.
Menyentuh mengenai pencalonan awal pada ABPBH 32, Ara berkata, dia menyimpan harapan untuk membolosi Top 5.
“Soal kalah atau menang bukan keutamaan kerana berada dalam kelompok Top 5 sudah saya anggap sebagai kejayaan besar. Apatah lagi, persaingan pada musim ini agak sengit. Saya turut bersama-sama peminat merancakkan lagi aktiviti mengundi sempena ABPBH 32. Secara tidak langsung, dapat juga saya meluangkan masa bersama mereka yang sentiasa menyokong dari belakang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ara memberitahu, dia bakal muncul dengan single baharu bergenre balada rock.
Lagu yang belum diberi judul itu dijangka dilancarkan pada pertengahan bulan ini atau awal September. – Agensi
