PUTRAJAYA, 30 Nov – Anggota keluarga terdekat kepada beberapa mangsa tragedi kehilangan Penerbangan Malaysia MH370 hari ini menyerahkan lima serpihan, yang dipercayai bahagian-bahagian tertentu daripada pesawat malang itu kepada kerajaan Malaysia.
Serpihan yang ditemui di tiga lokasi di Madagascar antara Disember 2016 dan Ogos lepas itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam satu majlis ringkas di sini.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, dan menjadi menjadi salah satu daripada kejadian penuh misteri dalam sejarah penerbangan.
Bercakap kepada pemberita di majlis itu Loke berkata, serpihan yang kelihatan seperti panel lantai pesawat itu akan diserahkan kepada Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 untuk verifikasi segera.
“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen semalam, kita tidak pernah menutup sebarang kemungkinan. Jika ada petunjuk yang boleh dipercayai, selepas berbincang dan pihak berkuasa merasakan ada petunjuk baru, kami sedia menyiasat,” katanya.
“Kita perlu ada petunjuk yang boleh dipercayai sebelum buat apa-apa keputusan. Sebarang misi mencari, saya perlu kembali kepada kabinet, saya tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya.
Sementara itu penyiasat bebas Blaine Alan Gibson yang membawa lima serpihan berkenaan kepada keluarga terdekat itu berkata serpihan berkenaan ditemui oleh nelayan dan penduduk tempatan Madagascar.
Beliau berkata salah satu bahagian penting serpihan itu dipercayai panel lantai Beoing 777, yang ditemui tahun lepas berhampiran Sandravinany di selatan Madagascar. – Bernama