Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serpihan pesawat penumpang Rusia ditemui

    MOSCOW, 6 JULAI – Pasukan mencari hari ini menemui bangkai pesawat penumpang yang membawa 28 orang yang hilang di Semenanjung Kamchatka, di timur jauh Rusia.

    Pencarian mangsa yang terselamat dihentikan kerana hari beransur malam, kata sumber kementerian kecemasan.
    Laporan awal oleh agensi berita Rusia menunjukkan bahawa tidak ada mangsa yang telah dijumpai.

    Gabenor Kamchatka, iaitu semenanjung luas yang terkenal dengan aktiviti pelancongan kembara dan lasak kerana hidupan liar dan gunung berapi hidupnya yang banyak, menyatakan pasukan mencari telah menemui bahagian badan pesawat di sepanjang pantai dan di Laut Okhotsk.

    “Berlaku kecelakaan semasa hampir mendarat,” kata Vladimir Solodov dalam video yang dikeluarkan di laman web kerajaan.

    Dalam kenyataan kepada agensi berita Interfax, beliau menyatakan masih belum ada tanda-tanda penumpang pesawat atau barang-barang mereka. Agensi penerbangan Rusia dalam satu kenyataan menyatakan, serpihan pesawat itu telah dijumpai pada jam 9:06 malam waktu tempatan. Jurucakap pejabat pendakwa pengangkutan tempatan, Valentina Glazova, memberitahu AFP bahawa pesawat AN-26 terbang dari bandar utama Kamchatka, Petropavlovsk-Kamchatsky ke bandar pesisir Palana apabila ia hilang pada jam 2:40 petang waktu tempatan.

    Pegawai menyatakan bahawa komunikasi dengan pesawat telah hilang sembilan kilometer dari lapangan terbang Palana dan 10 minit sebelum waktu pendaratan yang dijadualkan.

    Interfax yang memetik Armada Pasifik Rusia menyatakan beberapa serpihan pesawat itu ditemui di lereng bukit dan bahagian lain di laut, empat kilometer dari pantai. Agensi berita itu menyebut sumber kementerian kecemasan menyatakan bahawa pesawat itu telah melanggar tebing selepas dua kali cuba mendarat di tengah-tengah jarak penglihatan yang kurang baik dan angin kencang. – AFP

    Pesawat Antonov An-26 sama dengan model kapal terbang yang hilang, terletak di Lapangan Terbang Elizovo di luar Petropavlovsk-Kamchatsky, Rusia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda