WASHINGTON, 31 JULAI – Sebuah pemacu roket China mencatat kepulangan tidak terkawal ke ruang Bumi semalam, mendorong pegawai Amerika Syarikat (AS) mengkritik Beijing kerana tidak berkongsi maklumat mengenai kejatuhan objek berisiko berkenaan.
Pusat Angkasa Lepas AS ‘boleh mengesahkan roket Long March milik Republik Rakyat China memasuki semula Lautan India pada kira-kira 10:45 pagi,” kata unit tentera AS di Twitter.
“Kami merujuk awda kepada #PRC untuk butir-butir lanjut mengenai aspek teknikal kemasukan semula seperti lokasi kesan penyebaran serpihan,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di profil WeChat, Agensi Angkasa Lepas China memberikan koordinat kawasan terhempas di Laut Sulu, kira-kira 57 kilometer di luar pesisir pantai Pulau Palawan di Filipina.
“Kebanyakan perantinya dikeluarkan dan dimusnahkan semasa kemasukan semula,” kata agensi merujuk kepada pemacu roket, yang digunakan pada Ahad lalu untuk melancarkan modul kedua yang diperlukan oleh China untuk menyiapkan stesen angkasa baharu Tiangong.
Agensi angkasa lepas Malaysia mengesahkan ia mengesan serpihan roket terbakar semasa memasuki ruang udara sebelum terhempas di Laut Sulu.
Pentadbir NASA Bill Nelson mengkritik Beijing di Twitter, berkata kegagalan berkongsi maklumat mengenai kejatuhan roket bersifat tidak bertanggungjawab dan berisiko.
“Semua negara peneroka angkasa harus mengikuti amalan terbaik yang sudah ditetapkan selain melaksanakan tanggungjawab mereka untuk berkongsi maklumat berkenaan lebih awal.
“Ia bagi membolehkan ramalan yang boleh dipercayai mengenai potensi risiko kesan serpihan supaya nyawa orang awam tidak terancam.” – AFP
