Sertai kejohanan boling di Filipina

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Atlet boling OKU Negara Brunei Darussalam bakal beraksi di Kejohanan World Para Bowling Tour 2019 yang akan berlangsung di Sta. Lucia Bowling Center, Sta. Lucia East Mall, Manila, Filipina bermula 14 hingga 21 November ini.

Sehubungan itu, rombongan seramai 10 orang terdiri daripada tujuh atlet iaitu empat atlet OKU penglihatan, seorang atlet OKU berkerusi roda, dua atlet OKU anggota bersama tiga pegawai, jurulatih dan pengiring dengan diketuai oleh Awang Mohammad Aidil bin Jahali berlepas ke Manila, Filipina, hari ini.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas untuk mengucapkan selamat berlayar kepada rombongan berkenaan ialah Yang DiPertua Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam, Shaikh Mahmud bin Shaikh Haji Ibrahim dan Naib Presiden I, Kongres Ten Pin Boling Negara Brunei Darussalam, Pengiran Mohd Rudisofy bin Pengiran Haji Tajuddin serta ahli keluarga para rombongan.

Dalam temu bual bersama Media Permata, jurulatih pasukan, Pengiran Saiful Rizal bin Pengiran Haji Yunus berkata bahawa para atlet telah mengadakan latihan intensif bagi kejohanan berkenaan bermula Oktober lalu dan berharap dapat meraih keputusan yang baik dalam kategori yang disertai semasa kejohanan berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa para atlet akan memberikan prestasi yang terbaik dan berhasrat untuk membawa pulang pingat dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Awang Mohammad Aidil menyatakan bahawa penyertaan para peserta dalam kejohanan itu adalah sebagai persiapan untuk penyertaan mereka dalam Sukan Para ASEAN 2020 yang akan berlangsung pada Januari 2020 di Filipina.

Atlet-atlet yang akan beraksi dalam kejohanan berkenaan ialah Muhammad Jamary bin Danggat, Kamarul Arrifin bin Haji Abdul Ghaffar, Khairul Anuar bin Haji Abdul Ghaffar, Saidin bin Haji Awang Damit, Salehuddin bin Mohd Seruji dan Matius bin Akim.

Shaikh Mahmud dan Pengiran Mohd Rudisofy bergambar ramai bersama kontinjen yang akan beraksi pada kejohanan tersebut.