Oleh Syahmi Hassan –
Pernahkah awda terfikir untuk menggunakan semula sisa paip PVC daripada projek lama di garaj?
Atau memerlukan alat muzik tiupan untuk persembahan sekolah, tetapi tiada memiliki seruling?
Bermodalkan paip PVC terpakai dan sarung tangan getah, awda boleh mencipta seruling DIY yang bukan sahaja menjimatkan, malah menghasilkan bunyi yang unik dan mengagumkan.
Seruling ini mudah dibuat, tahan lama dan turut mengandungi elemen pembelajaran asas tentang fizik bunyi. Ia merupakan projek menarik yang boleh disiapkan dalam masa singkat – sesuai untuk guru, pelajar mahupun peminat muzik kreatif. (Gambar 1)
Bahan-bahan yang diperlukan:-
• Paip PVC bersaiz besar
• Paip PVC bersaiz kecil
• Pita pelekat
• Sarung tangan getah (atau bahan regang lain)
• Tali zip
• Gerudi (untuk lubang mulut dan jari)
• Gergaji (untuk potong paip PVC) (Gambar 2)
Nota: Saiz diameter paip boleh diubah suai, asalkan paip kecil boleh dimasukkan ke dalam paip besar dengan sedikit ruang longgar.
BINA BAHAGIAN MULUT
Potong paip PVC besar sepanjang 4 inci. Kemudian, gerudi satu lubang (diameter ½ inci) pada tengah paip, hanya menembusi satu sisi sahaja.
Potong sekeping kecil sarung tangan getah membentuk segi empat.
Regangkan sarung tangan menutupi hujung paip dan ikat ketat menggunakan tali zip. Ini akan membentuk membran penutup yang berfungsi sebagai sumber getaran bunyi. (Gambar 3)
BINA BADAN SERULING
Bahagian badan seruling pula menggunakan paip PVC kecil.
Tandakan garis sepanjang 4 inci dari bahagian atas paip kecil – ini akan menjadi kawasan sambungan dengan bahagian mulut. Balut kawasan ini menggunakan pita pelekat sehingga bahagian mulut dapat dipasang dengan ketat dan selesa.
Jika perlu, balut dan buka semula beberapa kali sehingga ketat sempurna dan tidak ada kebocoran udara. (Gambar 4)
PASANG DAN LARAS
Sambungkan bahagian mulut ke badan seruling dengan menyarungkannya pada kawasan yang telah dipita.
Untuk hasil bunyi yang optimum, laras kedudukan bahagian mulut sambil meniup sehingga nada yang diinginkan dicapai. Biasanya, nada akan terhasil apabila hujung paip kecil di dalam sedikit menolak membran getah ke atas. (Gambar 5 & 6)
Perhatian khusus: panjang dan nada
Untuk menghasilkan nada tertentu, awda perlukan:
• Tuner (alat penentu nada)
• Alat pemotong paip
• Kesabaran
Beberapa faktor penting yang boleh mengubah nada termasuk:
• Ketegangan sarung tangan getah
• Panjang keseluruhan seruling
• Kedudukan bahagian mulut
• Bilangan dan lokasi lubang jari
• Jenis bahan membran
Teorinya, paip ini berfungsi sebagai tiub resonan tertutup-terbuka (satu hujung tertutup dan satu terbuka).
Namun, disebabkan reka bentuk mulut yang tidak konvensional, pengiraan saintifik tidak memberikan hasil yang tepat.
Maka, proses larasan secara manual lebih berkesan untuk projek ini.
LANGKAH SETERUSNYA
Reka bentuk seruling ini juga membuktikan bahawa kadangkala, bahan paling ringkas seperti pita pelekat boleh menggantikan sambungan 3D yang rumit dan membolehkan ‘penalaan mikro’ dengan mudah.
SELESAI!
Awda kini berjaya membina seruling tiupan DIY yang murah, mesra alam dan menyeronokkan – hanya dengan bahan asas dan kreativiti!
Sama ada untuk tujuan pembelajaran, hiburan mahupun eksperimen muzik, seruling PVC ini pasti akan mencetuskan rasa ingin tahu dan kekaguman.
Tip Tambahan:-
• Gunakan sarung tangan getah berkualiti agar bunyi lebih jelas
• Tandakan dahulu lokasi lubang jari sebelum menggerudi
• Letakkan cat atau pelekat warna untuk menandakan nota muzik
• Bina beberapa seruling dengan panjang berbeza untuk hasil nada berlainan