Friday, March 28, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SESB dianggar rugi RM200 juta setahun akibat ‘curi karan’

    KOTA KINABALU, 14 FEB – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat perbuatan mencuri bekalan elektrik atau lebih dikenali sebagai ‘curi karan’ di negeri itu.

    Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata SESB berdepan kehilangan elektrik sebanyak 17 peratus dalam grid bekalan elektriknya dan daripada jumlah itu 10 peratus merupakan kehilangan secara teknikal manakala tujuh peratus kehilangan bukan teknikal atau akibat kecurian.

    Beliau berkata daripada anggaran sudut kewangan, satu peratus kehilangan elektrik itu menyebabkan SESB kerugian RM30 juta setahun, justeru kehilangan bukan teknikal atau kecurian itu menyebabkan kerugian RM210 juta setahun kepada SESB.

    “Jumlah ini (RM210 juta setahun) merupakan 25 peratus daripada kerugian keseluruhan dihadapi SESB. Jumlah itu juga cukup untuk membantu mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi kerajaan yang ketika ini sekitar RM850 juta setahun.

    “Ini juga bererti bahawa jika sekiranya kita dapat membanteras kecurian ini, kelestarian kewangan SESB akan jauh lebih baik. SESB adalah mangsa penjenayah curi karan, oleh sebab itulah SESB sangat mengambil serius untuk membanteras kegiatan mencuri ini,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini, sempena kunjungan hormat beliau terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah semalam.

    Mengulas mengenai kunjungan itu, Madius berkata dalam pertemuan itu pihak SESB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertukar pandangan dan bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih kukuh bagi membanteras jenayah kecurian elektrik di negeri ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda