Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi bantu perniagaan perbaiki pengurusan aliran tunai

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Bank Baiduri dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) telah mengadakan sesi untuk membantu perniagaan memperbaiki pengurusan aliran tunai mereka dalam acara yang berlangsung di Baiduri Enterprise Hub, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, acara itu mengetengahkan produk Baiduri SME Account Receivables Financing yang merupakan penyelesaian pembiayaan yang direka khusus untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuka modal kerja yang terikat dalam invois belum berbayar yang layak.

    Sesi itu diketuai oleh Pegawai Kanan dari Perbankan Perniagaan, Pengiran Haji Aziz bin Pengiran Haji Aji yang menerangkan cara menggunakan Baiduri SME Account Receivables Financing untuk memperbaiki aliran tunai bagi PKS.

    Beliau menunjukkan bagaimana produk berkenaan membolehkan perniagaan menukar invois tertunggak kepada tunai dengan membantu mereka menghubungkan jurang pembayaran, mengurus perbelanjaan operasi serta melabur semula ke dalam inisiatif pertumbuhan.

    Pengiran Haji Aziz juga menggariskan langkah-langkah untuk memohon pembiayaan, kriteria kelayakan serta amalan terbaik bagi menggunakan produk secara efektif untuk mengekalkan aliran tunai yang sihat.

    Awang Mohammad Isa Liew bersama wakil perniagaan tempatan yang menghadiri sesi Baiduri SME Account Receivables Financing di Baiduri Enterprise Hub. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Para peserta diberikan contoh dunia sebenar PKS yang telah memanfaatkan Baiduri SME Account Receivables Financing dengan jayanya untuk mengurangkan kesan bayaran tertunda daripada klien, memastikan kelancaran operasi yang berterusan.

    Dengan memanfaatkan produk itu, perniagaan juga boleh menawarkan terma pembayaran yang lebih fleksibel kepada pelanggan mereka, meningkatkan daya saing sambil mengekalkan kestabilan kewangan.

    Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Baiduri, Awang Mohammad Isa Liew bin Mohd Amin Liew menekankan dedikasi bank berkenaan untuk menyokong PKS melalui penyelesaian kewangan khusus.

    Beliau menyatakan bahawa Bank Baiduri adalah komited kepada pemerkasaan PKS tempatan dengan peralatan kewangan yang diperlukan mereka untuk maju. Beliau menerangkan Baiduri SME Account Receivables Financing direka bagi menangani salah satu cabaran yang sering dihadapi oleh perniagaan iaitu pengurusan aliran tunai.

    Dengan membuka nilai invois belum berbayar yang layak, tambahnya, mereka berhasrat untuk membantu perniagaan mengekalkan kestabilan dan menumpukan kepada pertumbuhan.

    Acara itu telah disertai oleh kira-kira 30 peserta yang memperoleh pandangan praktikal mengenai bagaimana Baiduri SME Account Receivables Financing boleh digunakan secara strategik untuk mengurus aliran tunai dan menyokong pertumbuhan perniagaan.

    Pemilik-pemilik perniagaan juga berpeluang berinteraksi dalam konsultasi satu-sama-satu dengan pasukan perbankan perniagaan Bank Baiduri bagi meneroka cara penyelesaian kewangan berkenaan boleh disesuaikan bagi memenuhi keperluan khusus mereka.

    Acara itu mengetengahkan usaha berterusan Bank Baiduri untuk menyokong pertumbuhan PKS tempatan dengan menyediakan produk-produk kewangan yang menangani keperluan utama perniagaan.

    Menerusi kerjasama dengan institusi seperti DARe, Bank Baiduri menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan Brunei, memudahkan pengembangan perniagaan kecil serta memupuk ekonomi tempatan yang lebih dinamik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda