Friday, January 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi bariga program Pusat STEP 2025

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Seramai 52 orang pemimpin sekolah serta wakil dari sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dari Kluster 2 di bawah Kementerian Pendidikan telah menghadiri sesi Pembarigaan Program-program Pusat STEP 2025 yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), hari ini.

    Sesi pemberigaan yang diadakan oleh Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP), Kementerian Pendidikan, bertujuan untuk membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Pusat STEP dan para pemimpin sekolah.

    Inisiatif itu juga dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran, memperluas penyertaan dan menggalakkan penglibatan aktif sekolah dalam perkhidmatan serta program-program yang disediakan Pusat STEP, bagi memastikan pelaksanaannya di peringkat sekolah berjalan dengan lancar dan berkesan dalam jangka masa panjang.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pusat STEP, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim menjelaskan mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) sebagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

    Sesi diteruskan dengan perkongsian mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat STEP, termasuk program STEAM dan Inisiatif Hijau serta hubung kaitnya dengan program-program yang ditawarkan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

    Hajah Suriani semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Antara pemimpin sekolah serta wakil dari sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dari Kluster 2 di bawah Kementerian Pendidikan yang menghadiri sesi tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Sesi berkenaan juga diisikan dengan pengumuman dan penyampaian sijil kepada para penerima Sekolah Aktif STEAM 2024 yang telah disempurnakan oleh Hajah Suriani di mana pengiktirafan berkenaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang giat dan aktif menyertai program-program anjuran Pusat STEP pada 2023 dan 2024.

    Penerima Sekolah Aktif STEAM 2024 bagi Kluster 2 dalam Kategori Sekolah Rendah ialah Sekolah Rendah Mabohai, manakala bagi Kategori Sekolah Menengah dan Pusat Tingkatan Enam ialah Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam.

    Para pemimpin sekolah turut diberikan peluang untuk bersemuka dan berbincang dengan pegawai fokal bagi program-program yang disediakan Pusat STEP.

    Perbincangan itu bertujuan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kandungan dan kepentingan program-program STEAM serta inisiatif hijau yang telah diberigakan.

    Melalui sesi berkenaan, diharapkan para pemimpin sekolah dapat memahami dengan lebih jelas tahap pelaksanaan program STEAM dan inisiatif hijau di sekolah masing-masing.

    Sesi berkenaan turut disampaikan kepada pemimpin-pemimpin sekolah serta wakil dari semua kluster di bawah Kementerian Pendidikan dan akan dilaksanakan mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda