Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi bincang kesejahteraan pekerja

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Kira-kira 48 ahli Persatuan Sumber-sumber Manusia (HRS) terdiri daripada profesional sumber-sumber manusia (HR) daripada sektor awam dan swasta di seluruh negara, menghadiri sesi pembelajaran mengenai topik Humanising HR di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, baru-baru ini.

    Majlis tersebut dibawakan oleh HRS sebagai usaha sama dengan Chartered Institute of Personnel and Development (CIPD) buat kali kedua sejak Ogos 2022 lalu.

    Antara yang menghadiri majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Acara itu dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengasas dan Presiden HRS, juga selaku Chartered FCIPD dan Pengarah HR Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Zainab M.A. Omar.

    Acara diteruskan dengan sesi perkongsian maklumat oleh ahli HRS, Saifullah Jamil dan Hana Som, mengenai lawatan mereka ke Singapura baru-baru ini untuk menghadiri Persidangan Global HR Tahunan ke-11 diikuti dengan pembentangan mengenai subjek kesejahteraan oleh Chartered FCIPD dan Ketua Serantau APAC, CIPD, May Leng Kwok.

    Barisan panel yang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan yang berlangsung di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, baru-baru ini. – Gambar serahan HRS
    Gambar ramai peserta yang hadir pada sesi tersebut. – Gambar serahan HRS

    Beliau mengongsikan tentang trend dalam kesejahteraan dan menghubungkan pengalaman pekerja serta anjakan korporat untuk mengutamakan kemapanan tenaga kerja dengan memupuk budaya yang sesuai.

    Seterusnya acara kemuncak malam itu sesi panel bersama lima profesional HR kanan terdiri daripada Hajah Zainab M.A. Omar; May Leng Kwok; Pengurus HR JPMC dan PJSC, Genevieve Yee; Timbalan Ketua Kumpulan HR dan Ketua Pembangunan & Pembelajaran Organisasi, Kumpulan Bank Baiduri, Chiam Chin Huei; dan Ketua Pegawai Sumber Manusia & Pentadbiran, Progresif Sdn Bhd, Mohammad Yazdi Haji Yahya.

    Sesi yang dikendalikan oleh profesional HR dan Setiausaha HRS, Fadli M Zaini itu membincangkan topik semasa di peringkat nasional dan global tentang cara mengurus kesejahteraan diri, cara mewujudkan ruang yang selamat dari segi psikologi untuk berkembang dan mewujudkan sistem sokongan bagi memastikan daya tahan dan daya saing semasa menjalankan pekerjaan sehari-hari dalam perniagaan mengurus orang dan menunjukkan kewajipan mengambil berat terhadap orang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda