Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi bincang polisi insurans perubatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) meneruskan Siri Penglibatan LKEB dengan sesi keempat yang berlangsung di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan & Teknologi, Kampung Anggerek Desa pada 21 dan 22 Oktober lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LKEB, di sini, sesi berkenaan menumpukan kepada sosialisasi polisi perlindungan insurans perubatan baharu untuk pelbagai kategori pas imigresen dan permit masuk, yang sedang dilaksanakan dalam dua fasa di mana fasa pertama bermula pada 1 Julai lalu dan fasa kedua dijadualkan bermula pada 1 Januari 2026.

    Acara yang dianjurkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri utama itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran, ketelusan dan pemahaman mengenai dasar baharu dalam kalangan komuniti perniagaan Brunei.

    Dengan menyatukan penggubal dasar, penyedia insurans dan perusahaan, acara itu menyediakan platform untuk menjawab soalan, menjelaskan keperluan dasar serta mengukuhkan kerjasama dalam menyokong pembangunan tenaga kerja dan perniagaan.

    Agensi-agensi yang mengambil bahagian dalam sesi berkenaan ialah Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Dasar dan Perancangan di bawah Kementerian Kesihatan dan Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) yang mewakili 11 penyedia insurans dan takaful.

    Para wakil daripada agensi dan syarikat insurans semasa perbincangan pada program itu. – GAMBAR SERAHAN LKEB
    Para peserta program bergambar ramai semasa program itu. – GAMBAR SERAHAN LKEB

    Acara itu juga menyaksikan penyertaan daripada syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDI), penyewa di bawah tapak perindustrian LKEB dan ahli persatuan perniagaan termasuk Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB), Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Tionghua serta Dewan Perniagaan India dan Persatuan Perusahaan China di Brunei (CEAB).

    Para peserta mengalu-alukan peluang untuk mendengar secara langsung daripada agensi dan syarikat insurans bagaimana polisi berkenaan akan mempengaruhi operasi mereka.

    “Berpeluang mendengar secara langsung daripada agensi dan penyedia insurans membantu kami merancang dengan lebih efektif kebajikan pekerja kami. Penjelasan yang kami peroleh di sini akan menyokong pelaksanaan yang lebih lancar dalam syarikat kami,” kata seorang wakil daripada Digital Sage Enterprise.

    Program selama dua hari itu menampilkan empat sesi yang terdiri daripada taklimat mengenai dasar insurans perubatan baharu, diikuti dengan sesi soal jawab interaktif yang dikendalikan oleh LKEB. Acara dihadiri oleh kira-kira 375 orang peserta yang mengemukakan soalan dan kebimbangan, mendapatkan penjelasan serta berkongsi maklum balas yang membina.

    Sesi siri penglibatan itu berjaya meningkatkan pemahaman antara majikan, menggalakkan ketelusan dan mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, syarikat insurans dan perniagaan sekali gus mencapai objektif utama sesi taklimat dalam menyokong kebajikan tenaga kerja dan memastikan kesinambungan perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda