SIBU, 4 SEPT – Dialog Awam bertajuk ‘Jenayah Siber Kenapa Masih Terpedaya?’ di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) esok, dalam inisiatifnya untuk membanteras kegiatan jenayah siber.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan dalam kalangan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai modus operandi jenayah siber yang melibatkan kerugian besar sehingga mencecah jutaan ringgit.
“Tiga ahli panel dijemput bagi membincangkan tajuk ini, dan mereka masing-masingnya mewakili Bahagian Jenayah Komersil IPD Sibu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia, manakala moderator ialah seorang pensyarah UTS,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini 298 kertas siasatan dibuka berhubung jenayah siber di daerah ini yang melibatkan jumlah kerugian lebih RM7.7 juta berbanding hanya lebih RM5.076 juta sepanjang tahun lepas.
“Program ini diharap akan memberi impak terutamanya dalam memberi kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat di Sibu, yang seterusnya dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
Tambahnya, program ini bakal dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan dijangka melibatkan 250 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), guru besar, pengetua sekolah dan wakil-wakil bank setempat.
“Program selama sejam ini juga akan disiarkan secara langsung di platform-platform media sosial bagi membolehkan lebih ramai orang mengikuti dan mendapat maklumat, selain membuka peluang kepada mereka mengemukakan pertanyaan berhubung kes-kes jenayah siber,” katanya. – Bernama
