Monday, July 14, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi dialog KHEU beri ruang perbincangan terbuka

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus mempergiat usaha memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat melalui pendekatan dialog yang inklusif, sejajar dengan hasrat Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Wawasan Brunei 2035.

    Sehubungan itu, sesi Dialog Kementerian Hal Ehwal Ugama Bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan telah diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pagi tadi.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sesi berkenaan.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat menjelaskan bahawa sesi dialog tersebut merupakan wadah perbincangan terbuka mengenai pelbagai aspek perkhidmatan ugama yang disediakan oleh kementerian.

    “Kami mengajak biskita berbincang, bertukar-tukar fikiran, memberi buah fikiran, menghulurkan pandangan, mengemukakan cadangan. Itulah maksud dialog. Untuk kita berbincang dengan fikiran tenang, perkataan yang jelas,” ujar beliau.

    Tambah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib, sebarang cadangan yang lebih baik daripada amalan sedia ada akan diterima dan diteliti dengan sebaiknya untuk penambahbaikan berterusan.

    Majlis turut diserikan dengan taklimat oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, yang mempengerusikan sesi serta menyampaikan pembentangan mengenai perkhidmatan-perkhidmatan di bawah kementerian tersebut.

    Sesi soal jawab turut diadakan pada penghujung majlis yang memberi ruang kepada peserta untuk mengemukakan pertanyaan serta cadangan secara langsung.

    Antara yang hadir ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para penghulu dan ketua kampung Daerah Brunei dan Muara, pegawai-pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, pemimpin belia, dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang sosial, dakwah dan pembangunan masyarakat.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, dan pegawai-pegawai kanan KHEU.

    Sesi dialog ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat, memperkemas penyelarasan dasar serta meningkatkan keberkesanan Perkhidmatan Ugama di peringkat akar umbi.

    Sesi Dialog KHEU tersebut akan diteruskan ke daerah-daerah lain, iaitu Daerah Tutong pada 16 Julai di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, dan di Daerah Temburong pada 22 Julai di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong dan juga di Daerah Belait pada 26 Julai di Dewan Persidangan, Kuala Belait.

    Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KHEU dalam mendukung pembangunan ugama secara menyeluruh, progresif dan mampan di Negara Brunei Darussalam.

    Semua di atas: Antara suasana semasa sesi dialog berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda