Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Dengan matlamat untuk memperkukuh transformasi digital dalam sektor pelancongan Brunei melalui perkongsian ilmu, dialog terbuka dan jaringan strategik antara industri dan penyedia teknologi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan menganjurkan Sesi Jaringan Perniagaan ke Perniagaan bertemakan Pendigitalan yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, sesi berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri pelancongan termasuk pengusaha hotel, ejen pelancongan, syarikat pengurusan acara serta penyedia perkhidmatan pelancongan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh menekankan kepentingan pendigitalan yang kini menjadi keperluan untuk meningkatkan daya saing dan menarik pelancong baharu serta berharap perbincangan akan menginspirasikan para jemputan untuk memperkukuh digitalisasi dan inovasi dalam industri pelancongan.
Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh seorang pakar industri digital, Albert Hwong dari Dynamik Teknologies Sdn Bhd, yang mengongsikan mengenai landskap pendigitalan yang kian berkembang dalam sektor pelancongan.
Seterusnya, sesi perbincangan panel menampilkan lima orang pengamal teknologi yang membincangkan penggunaan digital dalam operasi harian dan perkhidmatan pelanggan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Fokus utama sesi berkenaan ialah untuk memberi peluang buat para jemputan bagi memperkenalkan perkhidmatan masing-masing, mengenal pasti kekurangan dan keperluan industri serta meneroka potensi penerapan teknologi digital dalam memajukan sektor pelancongan negara.
Sebagai kesinambungan daripada inisiatif itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan akan menyediakan lebih banyak peluang seperti ini bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.




