Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Bagi mewujudkan perbincangan dua hala yang bermanfaat dan produktif, Sesi Muzakarah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah diadakan di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.
Hadir dalam sesi tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; serta ketua-ketua bahagian dan jabatan di bawah kementerian.
Sesi muzakarah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus. Ia diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan mukadimah daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, diikuti ucapan balas oleh ketua rombongan MMN, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.
Taklimat pencapaian KKBS bagi Tahun Kewangan 2024/2025 serta hala tuju kementerian disampaikan oleh Hajah Nor Ashikin.
Sesi itu turut mengongsikan fokus strategik kementerian, antaranya mengembang maju masyarakat cemerlang, bersatu padu, resilien dan pemedulian; menjana belia harapan yang berwawasan sebagai peneraju pembangunan negara; memantapkan pengukuhan ekosistem sukan yang lebih inklusif dan cemerlang; meningkatkan pelestarian budaya, warisan dan sejarah; serta memastikan perkembangan sistem dan proses yang efisien, efektif dan tepat pada masa.




