KOTA KINABALU, 30 JAN – Pelaksanaan lebih banyak sesi libat urus dapat membantu kerajaan untuk terus memperkasa dan melahirkan usahawan yang kompetitif, inovatif serta proaktif di pasaran tempatan dan global sejajar dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata program kementeriannya itu menjadi platform kepada persatuan perniagaan, usahawan dan koperasi memberikan pandangan, input serta maklum balas sekali gus membolehkan kementerian membantu dan memenuhi keperluan usahawan.
“Inisiatif ini juga membolehkan maklumat disalurkan kepada kerajaan agar kementerian dapat menyusun serta merangka program keusahawanan yang memenuhi keperluan usahawan dan koperasi secara lebih holistik,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi libat urus Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini yang turut dihadiri Timbalan Menterinya, Saraswathy Kandasami dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Phoong Jin Zhe.
Sesi libat urus anjuran KUSKOP dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) itu disertai kira-kira 500 usahawan yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata usaha itu juga adalah selaras dengan Pelan Strategik KUSKOP yang telah dilancarkan pada 17 Januari lalu bertemakan ‘Berdaya Maju, Transformatif dan Responsif’.
Katanya, antara objektif pelan itu termasuk menyediakan ekosistem kondusif bagi menyokong dan memacu pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara, mempertingkat daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik, dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan yang memudahkan dan efektif. – Bernama