Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mukim Mentiri telah mengadakan Program Muzakarah dan Pendekatan MPK Berserumpun bersama warga penduduk kampung berkenaan bertempat di Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau.
Program sulung itu telah dipengerusikan oleh Penghulu Mukim Mentiri yang juga Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad.
Turut hadir dalam program, ahli-ahli MPK serta Biro Berserumpun Kawasan 4, yang merangkumi pelbagai biro termasuk Pendidikan, Belia dan Sukan, Kebajikan, Perekonomian, Kebudayaan, Keagamaan, Perhubungan, Wanita, Media dan Keselamatan.
Program itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi MPK dan ahli-ahli biro kepada penduduk kampung, termasuk pengerusi majlis, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari.
Acara juga merangkumi sesi soal jawab yang membolehkan warga penduduk menyuarakan pandangan serta membincangkan isu-isu berbangkit yang dihadapi oleh komuniti, dengan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama antara pemimpin kampung dan penduduk serta mencari jalan penyelesaian yang mampan demi kemajuan bersama.
Program seumpama itu diharap dapat memperkasakan hubungan dua hala dan menyemarakkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan penduduk kampung.