Tuesday, December 17, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi Muzakarah KKBS, MMN hasilkan perbincangan produktif

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Untuk mewujudkan perbincangan dua hala yang bermanfaat dan produktif bagi semua pihak ke arah mencapai matlamat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menuju kecemerlangan di samping berperanan sebagai wadah bagi kedua-dua pihak untuk saling bercambah fikiran ke arah memberikan nilai tambah dan kemanfaatan bersama.

    Sesi Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah diadakan di Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia, Kampung Tanah Jambu kelmarin.

    Suasana sesi muzakarah berkenaan.

    Hadir dalam Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri KKBS, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi dalam muzakarah berkenaan.

    Turut hadir Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku menjalankan tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah serta ketua-ketua bahagian dan jabatan di bawah KKBS.

    Sebelum Sesi Muzakarah dimulakan, ahli-ahli MMN berkesempatan membuat lawatan dan melihat beberapa kursus pembangunan kapasiti yang ditawarkan kepada belia dan komuniti di Pusat Pembangunan Belia (PPB).

    Atas & Bawah: Sesi lawatan di PPB.

    Sesi Muzakarah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa daripada Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan mukadimah daripada Yang Berhormat Menteri KKBS.

    Dalam ucapan Yang Berhormat Menteri KKBS berkata, KKBS sentiasa mengalu-alukan hubungan kerjasama rapat daripada semua pihak melalui pendekatan senegara atau whole of nation.

    Dalam hal ini, KKBS amat menghargai sepenuhnya usaha ahli-ahli MMN selaku pemimpin akar umbi, suara dan telinga rakyat untuk sama-sama turun padang dalam memberikan impak dan sumbangan menerajui beberapa inisiatif yang mendukung usaha kementerian berkenaan.

    Dalam kesempatan ini, Yang Berhormat Menteri KKBS turut mengimbas kembali lawatan kerja ahli-ahli MMN ke Jabatan Belia dan Sukan pada Oktober lalu di mana perbincangan berkenaan menghasilkan percambahan fikiran dan cadangan yang positif ke arah memperbaiki lagi bidang kesukanan dan penjagaan kebajikan masyarakat, khususnya golongan sasaran.

    Yang Berhormat Menteri KKBS juga menyentuh mengenai dengan peranan PPB sebagai pusat pembangunan kapasiti dengan melaksanakan pelbagai program yang relevan dan diiktiraf sebagai kerjasama strategik dengan agensi-agensi berkepentingan dan juga mewujudkan peluang keusahawanan.

    Yang Berhormat Menteri KKBS juga berkata, PPB juga telah diiktiraf sebagai salah sebuah pusat persijilan City & Guilds yang membolehkan lepasan PPB melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan yang lebih tinggi dan mendapat pekerjaan.

    Yang Berhormat Menteri KKBS juga turut mengongsikan mengenai Fokus Utama Belanjawan Tahun Kewangan 2025/2026 dengan tema Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur dan hala tuju kementerian ke arah mencapai visi Bangsa Brunei Cemerlang yang menjurus kepada matlamat matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Sesi muzakarah kemudian diikuti dengan taklimat pencapaian KKBS bagi tahun kewangan 2023/2024 serta hala tuju kementerian yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku menjalankan tugas Setiausaha Tetap (Kesukanan) KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Seterusnya, muzakarah disambung dengan ucapan balas daripada Ketua Rombongan Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.

    Sesi Muzakarah tersebut antara lain memaklumkan dan mengongsikan hala tuju fokus strategik KKBS yang akan diperkukuhkan dan dipertingkatkan melalui Pengukuhan Tadbir Urus dan Pengoperasian yang Berkualiti, Efisien dan Efektif; Penjanaan Belia Harapan yang Berwawasan sebagai Peneraju Pembangunan Negara; Pengukuhan Ekosistem Sukan ke Arah Keinklusifan dan Kecemerlangan; Peningkatan Pelestarian Seni, Budaya, Warisan dan Sejarah; dan Mengembang Maju Masyarakat Cemerlang, Bersatu Padu, Resilien dan Pemedulian.

    Fokus-fokus strategik berkenaan dibentuk bersandarkan pendekatan yang berasaskan bukti dan amalan terbaik sebagai upaya bagi memastikan dan menghasilkan kualiti perkhidmatan serta program-program yang lebih berimpak.

    Gambar ramai antara KKBS dan ahli MMN semasa sesi muzakarah berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda