Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi muzakarah tingkat mutu perkhidmatan agama

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sesi Permuzakarahan antara Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Dilantik dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi Majlis Mesyuarat Negara Kali ke-22, Tahun 2026, berlangsung pagi tadi di Dewan Multaqa, KHEU.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang antara lain menjelaskan perkembangan pelaksanaan program dan inisiatif utama kementerian.

    Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa KHEU akan membentangkan Pelan Strategik Hal Ehwal Ugama 2025–2029, inisiatif-inisiatif utama kementerian serta rumusan sesi dialog bersama pemimpin akar umbi dan pihak berkepentingan. Selain itu, dapatan kaji selidik pertengahan tahun turut dikongsikan sebagai asas penambahbaikan perkhidmatan.

    Sesi muzakarah memberi ruang kepada ahli-ahli MMN untuk mengikuti pembentangan mengenai Proses Kerja Sistem Kebajikan Negara (SKN) berkaitan Pengurusan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) oleh Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), serta penerangan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) mengenai pengurusan bangunan dan penyelenggaraan fasiliti masjid. Yang Berhormat Pehin turut menegaskan komitmen kementerian dalam mempertingkat mutu perkhidmatan serta menerima setiap teguran ikhlas dan membina daripada orang ramai.

    Sesi diteruskan dengan ucapan balas daripada Ketua Rombongan MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, yang menghuraikan perkembangan utama dalam bidang-bidang seperti zakat, waqaf dan baitulmal yang mana Program Keusahawanan Asnaf PROPAZ kini berada di fasa 3 dengan 13 peserta menjalani latihan praktikal di Kafe Pengupayaan Asnaf meliputi empat bahagian: hot kitchen, barista, pengendalian sistem Point of Sale (POS) dan penyelenggaraan ruang kafe serta dapur.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Suasana semasa sesi muzakarah berkenaan yang diadakan di Dewan Multaqa, KHEU, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Pengurusan zakat diperkukuh melalui penambahbaikan proses inquiry, kerjasama dengan JAPEM dan pemimpin masyarakat serta penggunaan Microsoft365 Teams bagi pemantauan data. Sistem tempahan dalam talian untuk pembayaran zakat sedang dalam proses ujikaji, manakala promosi turut dipergiat melalui media sosial, siaran radio harian dan penerbitan video bersama Radio Televisyen Brunei (RTB).

    Mengenai dengan hal ehwal masjid, pembangunan masjid di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) menunjukkan kemajuan dengan tiga projek iaitu Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lumut, RPN Rimba dan RPN Lugu kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2026. Tujuh projek lain berada dalam fasa tender atau reka bentuk dengan sasaran siap antara 2027 hingga 2030.

    Di bawah Tabung Dana Masjid, projek Kampung Lamunin dan Kampung Ukong sedang dilaksanakan. Dari Januari hingga September 2025, sebanyak 154 program masjid telah dianjurkan merangkumi bahagian imarah, Muslimah, belia serta bimbingan dan latihan.

    Kaji selidik keberkesanan kuliah masjid akan diedarkan kepada orang ramai pada akhir November 2025.

    Seterusnya tentang sijil dan label halal, kerjasama antarabangsa dalam pengukuhan ekosistem halal diteruskan bersama MABIMS, MUIS Singapura, Pakistan dan BPJPH Indonesia. Pematuhan halal dipantau melalui pemeriksaan berkala dan mengejut di premis makanan. Penubuhan Rakan Belia Halal (RaBella) juga sedang dirancang.

    Selain itu, penambahbaikan TPOR menetapkan tempoh pemprosesan 44 hari bekerja, meningkatkan pematuhan daripada 29 peratus kepada 86 peratus. Dari 1 Januari hingga 23 Oktober 2025, sebanyak 781 permohonan diterima; 66 peratus telah diluluskan, 28 peratus masih dalam proses, dua peratus pengecualian dan empat peratus dibatalkan.

    Sesi permuzakarahan ini merupakan usaha strategik kementerian meningkatkan mutu perkhidmatan ugama, menangani isu berbangkit serta menjadi platform learning zone bagi kedua-dua pihak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda