Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi persekolahan bermula

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Sesi persekolahan bagi tahun 2024 akan bermula esok dan sudah pasti ramai ibu bapa semakin rancak membuat checklist terakhir untuk memeriksa senarai kelengkapan sekolah anak-anak mereka.

    Lazimnya, pada saat-saat akhir inilah kedai buku menjadi tumpuan ibu bapa untuk membeli barangan sekolah yang belum lagi diperolehi, selain kedai jahit untuk mengambil baju sekolah yang ditempah.

    Namun tahun ini, kedai-kedai tersebut tidak begitu sesak kerana musim kemuncak gaji dan bonus beberapa hari lalu mungkin sudah dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk membeli barangan persekolahan agar tidak bersesak-sesak seperti tahun-tahun yang sudah.

    Manakala seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, Dayang Farhana binti Haji Duraman, telah mengongsikan persiapan terakhirnya ketika ini, hanya membeli baju seragam sekolah, buku-buku sekolah dan beberapa peralatan menulis yang lain.

    Ini kerana, jelasnya, kasut sekolah anak-anaknya masih boleh digunakan memandangkan kasut tersebut baru sahaja dibeli pada penghujung Oktober tahun lepas.

    Antara ibu bapa semasa berada di kedai buku. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau sengaja menunggu saat akhir untuk membeli keperluan pembelajaran anak-anak kerana tidak mahu bersesak-sesak dan buku-buku pembelajaran anak-anak yang diperlukan semuanya sudah lengkap, tidak perlu lagi menunggu stok sampai seperti buku-buku lainnya.

    “Alhamdulillah kedai buku hari ini, agak lengang mungkin kerana ramai sudah membeli lebih awal,” katanya.

    Selain kedai buku dan kedai jahit, kedai gunting juga tidak ketinggalan menerima pelanggan yang tidak putus-putus sejak pagi tadi dan beberapa hari sebelumnya.

    Dalam tinjauan media ke beberapa buah kedai gunting di daerah ini mendapati, barisan kanak-kanak lelaki dilihat menanti giliran untuk mendapatkan khidmat gunting rambut.

    Ia adalah bagi memastikan rambut mereka kelihatan rapi, kemas dan memberikan semangat untuk kanak-kanak memulakan hari persekolahan dengan penampilan baharu tanpa melanggar peraturan sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda