SAO PAULO, 7 MAC – Lima bandar di selatan Brazil menggantung sesi persekolahan kelmarin susulan gelombang haba, dengan suhu mencecah 36 darjah Celsius di beberapa kawasan, menurut pihak berkuasa.
Bandar Rio Grande, salah satu daripada lima bandar terjejas di negeri Rio Grande do Sul, memaklumkan bahawa sekolah di kawasan itu tidak dilengkapi kemudahan mencukupi untuk menangani cuaca panas melampau. Sesi pembelajaran dijadual bersambung Isnin depan.
Institut Meteorologi Kebangsaan Brazil mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk Rio Grande do Sul dan empat lagi negeri berikutan suhu yang meningkat sehingga 5 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata bulanan.
Menurut laporan UNESCO pada Januari lalu, kejadian cuaca ekstrem menjejaskan sekurang-kurangnya 1.17 juta kanak-kanak di Brazil tahun lalu, terutamanya akibat banjir dan kemarau.
Kawasan Rio Grande do Sul mencatat kesan terbesar, dengan lebih 740,000 pelajar terpaksa ponteng sekolah semasa banjir besar yang melanda negeri itu pada Mei 2024. – AP
