Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seramai 32 usahawan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menyertai sesi Praktikum Keusahawanan Pendidikan Islam 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Ilmu Teras kolej berkenaan di kampus KUPU SB pagi tadi.
Bertemakan Inspirasi Keusahawanan Islam, praktikum tersebut dibukakan kepada orang ramai dengan menampilkan pelbagai jualan termasuk makanan dan minuman, aksesori serta perkhidmatan mencuci kereta.
Selain aktiviti jualan, turut diadakan sesi perkongsian ilmiah yang disampaikan oleh tenaga akademik KUPU SB membincangkan topik Peranan Ruqyah Syar’iyyah, Asas Khusyuk Dalam Solat dan Panduan Membina Ketenangan Hati.
Praktikum berkenaan antara lain bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di samping membudayakan nilai kreativiti, inovasi dan daya saing. Ia juga menjadi wadah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) melalui aktiviti sebenar serta menyemai semangat keusahawanan berlandaskan prinsip Islam.
Antara pengisian utama program ialah beberapa sesi perkongsian ilmu yang menampilkan tenaga akademik KUPU SB.
Sesi pertama bertajuk Mind Over Matter: The Power of Ruqyah in Mental Health disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, KUPU SB, Ustaz Haji Hilman bin Haji Salim yang mengupas peranan ruqyah syar‘iyyah sebagai kaedah penyembuhan yang bukan sahaja menyentuh aspek spiritual tetapi turut memberi kesan positif terhadap kesihatan mental.
Sesi kedua bertajuk Keep Calm and Trust Allah pula disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, KUPU SB, Ustazah Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan yang menumpukan kepada panduan praktikal mengekalkan ketenangan menghadapi cabaran hidup seharian melalui pendekatan Islamik dan strategi psikologi, termasuk teknik kawalan emosi serta cara menangani stres.
Manakala sesi ketiga bertajuk Asas Khusyuk Dalam Solat disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Ustaz Abdulrahman bin Haji Ajak yang menjelaskan konsep dan kepentingan khusyuk menurut Al-Quran dan sunnah serta langkah-langkah praktikal untuk mencapainya.
Program ini diharap dapat menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar di samping memperkukuh nilai-nilai Islam melalui ilmu, amal dan akhlak.
Semua di atas: Antara suasana semasa sesi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KUPU SB

