Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi promosi budaya pengguna bijak

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Dalam usaha memperkukuhkan kepentingan pendidikan mengenai hak pengguna, seawal dari kelas pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) telah mengadakan sesi perkongsian yang diadakan di Sekolah Menengah Rimba II.

    Sesi perkongsian ilmu bersama guru-guru perdagangan dalam Subject-Based Committee – Commerce dari sekolah-sekolah di seluruh daerah itu dimulakan dengan penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab jabatan serta objektif utama sesi tersebut. Empat objektif utama yang diketengahkan adalah pemahaman tentang hak-hak pengguna, menjadi pengguna yang bijak, penggunaan aplikasi PenggunaBijak sebagai alat maklumat digital dan meneroka bahan rujukan bagi para guru.

    Pembentangan kemudian beralih kepada pengenalan mengenai Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), Penggal 261, khususnya berkaitan amalan perniagaan yang tidak wajar.

    Ia termasuk amalan mengelirukan pengguna, membuat kenyataan palsu dan mengambil kesempatan terhadap pengguna. Selain itu peranan pengawal selia sektor yang berbeza di Negara Brunei Darussalam turut dikongsikan.

    Peserta juga terlibat dalam sesi undian untuk menilai reaksi mereka apabila berhadapan dengan amalan perniagaan yang tidak wajar.

    Guru-guru perdagangan semasa menghadiri sesi perkongsian ilmu mengenai hak pengguna. – GAMBAR SERAHAN JPES
    Sesi perkongsian yang diadakan di Sekolah Menengah Rimba II. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Sesi diteruskan dengan panduan untuk menjadi pengguna yang bijak, dengan menekankan tiga hak pengguna iaitu hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk memilih dan hak untuk mendapatkan ganti rugi.

    Sementara itu, aplikasi mudah alih PenggunaBijak dipamerkan sebagai alat praktikal untuk menjadi pengguna yang bijak.

    Ciri-ciri seperti 1-2-Compare, pemantauan harga mingguan dan saluran membuat aduan juga dikongsi di samping maklumat lain yang boleh diakses di laman sesawang jabatan serta daripada sumber serantau.

    Selain itu, peserta juga berpeluang mengemukakan pertanyaan mengenai senario sebenar yang melibatkan amalan perniagaan yang tidak wajar serta tindakan yang boleh diambil oleh pihak jabatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda