Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UBD telah menganjurkan sesi tadabbur Al-Quran ‘Tadabbur Surah Al-Fatihah’ bertempat di Masjid Universiti dan disiarkan secara langsung melalui Instagram Persatuan Mahasiswa/i UBD (PMUBD).
Hadir selaku tetamu khas pada sesi tersebut ialah Pendaftar dan Setiausaha UBD, Hajah Joanna binti Haji Yacob.
Acara juga dihadiri oleh para pensyarah, kakitangan, mahasiswa-mahasiswi UBD, para jemputan institusi pengajian tinggi lain dan juga sekolah-sekolah. Malahan acara ini juga dibukakan kepada orang ramai untuk sama-sama hadir agar ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan bersama.
Sesi tadabbur kali ini disampaikan oleh Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya.
Sesi ini merupakan salah satu daripada cabang Program Quranic Journey dengan tujuan dijadikan sebagai satu wadah bagi para pelajar UBD khususnya dan orang awam amnya untuk menghayati isi Al-Quran. Al-Quran merupakan kalamullah yang sepatutnya difahami dan dihayati oleh semua muslimin.
Memandangkan surah Al-Fatihah adalah surah yang dibaca setiap hari dan merupakan salah satu rukun di dalam solat, kali ini pihak penganjur memilih surah ini untuk sama-sama dihayati agar solat seseorang itu lebih khusyuk apabila memahami setiap bait yang disebut dalam solat tersebut.
Majlis dimeriahkan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah bagi hadirin yang hadir oleh tetamu khas majlis.