Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN,6 JAN – Sesi taklimat untuk para peserta Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30 bagi persiapan terakhir yang mengetengahkan peraturan-peraturan terkini sepanjang pesta pengguna berlangsung telah diadakan hari ini di Dewan Serbaguna, D’Sunlit Sdn Bhd.
Ekspo berkenaan yang akan berlangsung dari 15 hingga 19 Januari di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas itu dijangka mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan serta aktiviti menarik dengan penyertaan lebih daripada 300 pengusaha dan lebih 650 gerai.
Salah satu ciri utama Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30 adalah Persidangan Ekspo Pengguna (CONFAC) 2025 yang akan diadakan buat pertama kali di Dewan Sidang Media ICC.
CONFAC 2025 akan menghimpunkan pemimpin industri, usahawan dan inovator untuk menonjolkan peluang di rantau BIMP-EAGA, serta menyelami peranan digitalisasi dan pendekatan inovatif yang boleh diterapkan oleh PKS untuk berkembang dalam landskap dinamik ini. Tiket untuk persidangan menarik ini kini boleh dibeli di laman web rasmi, www.bruneiconsumerfair.com.
Selain itu, Ekspo itu juga memperkenalkan ‘Zon Antarabangsa’ di Dewan Musyawarah yang mempamerkan perniagaan dari rantau BIMP-EAGA. Seksyen khas berkenaan bertujuan mempromosi perdagangan dan kerjasama serantau.
Sementara itu, pengusaha dari India, Bangladesh, Singapura dan negara-negara lain akan menambah perspektif global, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk diterokai semua pengunjung pesta.
Di samping itu, acara juga menampilkan Program Padanan Perniagaan yang diperbaharui, membolehkan pembeli berhubung terus dengan pengusaha tempatan dan antarabangsa. Program itu menyediakan platform untuk menjalin kerjasama dan perkongsian, sekali gus memudahkan pencarian hubungan berharga di satu tempat.
Bagi memeriahkan lagi acara, para pengunjung boleh menyertai sesi cabutan bertuah Utama, dengan hadiah utama berupa sebuah Toyota Raize yang ditaja oleh NBT Brunei.