Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Dalam usaha membincangkan kepentingan melindungi data dalam landskap digital masa kini, Dynamik Technologies dengan kolaborasi strategik bersama Veeam Software dan Scality serta disokong oleh Ingram Micro telah mengadakan sesi penglibatan bertema, Protect, Manage, Recover: A New Era in Data Resillience, yang berlangsung di Kiulap, baru-baru ini.
Sesi itu menyaksikan penyertaan lebih 60 profesional IT daripada sektor awam dan swasta seluruh negara, bermatlamat untuk memperkasakan organisasi tempatan dengan ilmu pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk mengukuhkan strategi pemulihan dan perlindungan data mereka dalam landskap yang semakin terdedah kepada ancaman.
Sesi berkenaan menawarkan pandangan bagaimana penyelesaian gred perusahaan menyokong kelangsungan operasi dengan perbincangan menekankan kepada aplikasi dunia sebenar serta cabaran tempatan.
Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan untuk menyampaikan sistem digital kritikal-misi dan memupuk sebuah budaya pengurusan data berdaya tahan dan bertanggungjawab.
Di samping menyampaikan amalan industri dan penyelesaian terkini, acara itu juga menggariskan bagaimana perlindungan data menyumbang secara langsung kepada kelangsungan perniagaan jangka panjang.
Ketua Pembangunan Perniagaan, Dynamik Technologies, Albert Hwong menekankan impak inovasi sosial data dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan apabila data dilindungi, boleh diakses, diyakini dan berdaya tahan, ia menjadi ruang selamat untuk inovasi.
Mereka yang menghadiri sesi berkenaan memperoleh perspektif berharga mengenai amalan perlindungan data menerusi sesi yang dikendalikan oleh Jurutera Sistem, Veeam Software Malaysia, Farid Roslan dan Pengurus Saluran Kanan, Veeam Software Malaysia, Oscar Koay.
Sesi itu menyentuh pencegahan kehilangan data Microsoft 365 dan pendekatan pemulihan dan sandaran Veeam. Manakala itu, Pengurus Saluran Scality, Ting Siow Yong mengongsikan mengenai infrastruktur simpanan berintegrasi dan tahan lama untuk menyokong keperluan peniagaan jangka panjang.
Para peserta juga mengambil bahagian dalam sesi interaktif berasaskan senario bertajuk “What Could Go Wrong?” – Data Protection in Everyday Business, di mana mereka meneroka risiko perlindungan data dalam konteks perniagaan dunia sebenar Brunei.
