Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesuaikan amalan moden anestesia

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Perkembangan dalam bidang anestesia telah menyaksikan pesakit-pesakit yang dahulu dinafikan pembedahan atas sebab usia atau penyakit, kini boleh menerima prosedur pembedahan yang kompleks.

    Oleh itu, tidak ada pesakit, tanpa mengira betapa serius keadaan mereka, akan dianggap terlalu sakit bagi anestesia umum atau yang memerlukan pembedahan segera kerana kemajuan dalam bidang anestesia.

    Di samping itu, dengan agen pembalikan dan agen penyekat neuromuskular moden, pesakit-pesakit kini menunjukkan peningkatan dalam pemulihan pasca pembedahan spontan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam kapasitinya selaku Pengarah Eksekutif JPMC ketika berucap pada Persidangan Anestesia 2023 yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.

    Beliau menambah bahawa pendekatan pelbagai disiplin dengan protokol penjagaan dapat membantu untuk meningkatkan pemulihan pesakit serta membantu pakar anestesia dalam menyediakan pemantauan selamat dan invasif semasa prosedur pembedahan rumit.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapannya pada Persidangan Anestesia 2023 di The Empire Brunei, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan cenderahati kepada pembentang dari negara jiran, Dr Joseph Abueg. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menghadiri Persidangan Anestesia 2023 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Antara pakar dan profesional penjagaan kesihatan yang menghadiri Persidangan Anestesia 2023. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Di antara pakar dan profesional penjagaan kesihatan yang menghadiri Persidangan Anestesia 2023 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Pakar anestesia juga memainkan peranan utama dan pemantauan pasca pembedahan selepas prosedur pembedahan yang rumit, jelasnya lagi.

    Selain daripada keperluan bagi pakar anestesia moden untuk sentiasa menyesuaikan amalan bagi kepentingan pesakit, mereka juga harus berdepan dengan penduduk yang semakin menua, jumlah pembedahan yang meningkat serta permintaan yang meningkat bagi kakitangan anestesia.

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai impak persidangan berkenaan kepada bidang penjagaan anestesia di mana ia memberikan peluang yang unik bagi profesional penjagaan kesihatan untuk berkumpul, belajar daripada satu sama lain serta membentuk masa hadapan penjagaan anestesia.

    Persidangan anjuran Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dengan kerjasama Persatuan Pakar Anestesia Brunei itu dihadiri oleh lebih 80 orang peserta yang terdiri daripada profesional penjagaan kesihatan dari Brunei dan negara-negara jiran.

    Ia menyediakan platform penting bagi pengamal dan pakar khususnya dalam bidang anestesia untuk berjumpa, berkongsi pandangan berguna dan belajar mengenai penyelidikan serta kemajuan terkini dalam bidang penjagaan perioperatif dan anestesiologi.

    Persidangan juga menyaksikan pembentangan penceramah-penceramah dari negara jiran termasuk Pengarah Serantau MSD bagi Hal Ehwal Perubatan, Asia-Pasifik, Dr Joseph Abueg; Konsultan Anestesiologi, Gleneagles Hospital Medini Johor, Malaysia, Dr Shahridin bin Mohd Fathil; dan Profesor Dr Ina Ismail binti Shariffuddin dari Universiti Malaya, Malaysia.

    Sesi pembentangan juga mengetengahkan pembentang-pembentang pakar penjagaan kesihatan tempatan dari JPMC, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pantai Jerudong Specialist Centre dan Gleneagles JPMC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda