Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesuaikan sistem pendidikan kepada perubahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan perkembangan yang canggih dalam teknologi dan kejuruteraan yang membentuk semua infrastruktur, penemuan saintifik yang telah mendalamkan lagi kefahaman kita mengenai alam semesta serta ekspresi artistik yang telah memperkayakan permaidani budaya kita.

    Oleh itu, adalah amat mustahak bagi sistem pendidikan untuk menyesuaikan kepada perubahan berkenaan dan mempersiapkan para pelajaran untuk berkembang maju dalam landskap dinamik berkenaan.

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya pada Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-6, 2024 yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Dalam hubungan itu, tambahnya, integrasi sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik di lihat sebagai pemangkin kuat bagi inovasi dan kemajuan.

    “Oleh itu, permintaan untuk pelajar kita mahir dalam bidang STEAM semakin meningkat, melengkapkan pelajar kita dengan kemahiran dan pengetahuan sambil memupuk kreativiti, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah mereka.”

    Yang Berhormat Datin seterusnya berkata, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) dan Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC) sedang berusaha ke arah membangunkan Rubrik Kompetensi STEAM yang bermatlamat bagi menjana peluang-peluang pembelajaran bagi mengintegrasikan pelbagai disiplin yang boleh memanfaatkan kebolehsuaian, daya tahan dan minda pelajar untuk membentuk masa depan bagi kehidupan yang bermakna.

    Beliau berkata, adalah diharapkan rubrik berkenaan akan dapat mencerminkan pendekatan pendidikan STEAM bagi masalah-masalah dengan perspektif yang holistik, yang memanfaatkan ilmu pengetahuan daripada pelbagai bidang untuk menjana penyelesaian yang inovatif.

    Ke arah itu, peranan kepimpinan pentadbir sekolah adalah amat mustahak dalam memajukan pendidikan STEAM di dalam bilik-bilik darjah, tekan beliau.

    Dengan memupuk sebuah budaya inovasi, menyediakan sumber dan sokongan serta menyemai kerjasama yang bermakna, pemimpin-pemimpin sekolah dapat memastikan setiap pelajar mempunyai peluang untuk membangunkan pemikiran kritis, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah yang bukan sahaja akan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran hari esok tetapi juga bersedia untuk memimpin ke arah masa hadapan yang lebih inklusif serta cerah.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan ucapan pada Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-6, 2024 yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda