Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS- Set berus pembersih (Spout Cleaning Brush Set) yang didapati diperbuat daripada bulu khinzir yang dijual di premis-premis perniagaan telah diarahkan untuk dijual secara berasingan dengan serta merta daripada penjualan kepada orang awam.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BMKH), Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menerima aduan mengenai penjualan berkenaan, oleh yang demikian bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah menyarankan para pemilik dan pengurus premis-premis perniagaan untuk bertindak serta merta.
Para pengguna beragama Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak membeli dan menggunakan set berus pembersih tersebut.
Sehubungan dengan ini, KHEU ingin mengingatkan para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal dan suci tidak bercampur dengan produk yang tidak halal.
Peringatan ini adalah demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini supaya tidak terjebak daripada mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.
KHEU menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat tentang penjualan produk import tersebut.
Sebarang aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan di negara ini bolehlah disalurkan terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BMKH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.