MILAN, 2 OGOS – Gianluigi Buffon hari ini mengumumkan persaraannya daripada bola sepak, melabuhkan tirai karier gemilang sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia sepanjang masa.
“Itu sahaja kalian! Awda memberi saya segalanya. Saya memberi awda segalanya. Kita melakukannya bersama-sama,” tulisnya dalam Bahasa Inggeris di media sosial.
Buffon, 45, menggantung sarung tangan selepas dua tahun terakhir di Parma, kelab di mana segalanya bermula hampir tiga dekad lalu ketika bola sepak Itali menjadi kegemilangan Eropah.
Beliau mempunyai kontrak yang berjalan sehingga musim panas depan bersama Parma, tetapi beliau tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada usaha kelab Serie B itu untuk kembali ke liga utama selepas dua tahun beraksi.
Buffon adalah simbol zaman kegemilangan ketika pemain bola sepak terbaik bermain di Serie A dan Itali membangunkan berpuluh-puluh pemain bertaraf dunia.
Bekas kapten Itali itu mempunyai rekod 176 penampilan untuk negaranya sambil memegang rekod perlawanan Serie A yang dimainkan – 657, bermula pada tahun 1995.
Selepas muncul sebagai pemain berusia 17 tahun, mengetepikan pemain seperti George Weah dan Roberto Baggio dalam penampilan sulungnya di Parma menentang AC Milan, Buffon memenangi 27 trofi utama.
Majoriti diperolehinya sepanjang 19 musim di Juventus, di mana beliau memenangi 10 kejuaraan Serie A, lima Piala Itali, manakala beliau juga memenangi Piala UEFA pada 1999 untuk Parma sebagai sebahagian daripada pasukan yang mungkin terbaik dalam sejarah kelab itu.
Beliau juga memenangi Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain pada 2019 sebelum kembali ke Juve, tetapi kenangannya yang paling manis adalah kemenangan Itali dalam Piala Dunia 2006.
Buffon memenangi trofi terakhirnya pada musim ter-akhirnya bersama Juve dua tahun lalu, menjulang Piala Itali bersama Federico Chiesa, 22 tahun selepas beliau meraih kemenangan bersama Parma dengan bapa rakan sepasukannya, Enrico. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P24-1-AP_03082023.jpg)