Aku ingin bercerita mengenai satu benda yang sampai sekarang masih menghantui aku.
Bukan nak minta simpati, tapi mungkin kau akan faham kenapa hati aku jadi macam batu sekarang. Dulu, aku percaya 100 peratus pada dia.
Isteri aku, seorang perempuan yang aku sangka akan genggam tangan aku sampai hujung nyawa.
Tapi satu hari, naluri aku mula rasa tak sedap. Dia makin kerap keluar ‘jumpa kawan lama’ dan telefon dia sentiasa terkunci.
Aku tidak pernah kisah sebelum ni, sebab aku fikir, kalau kita ada kepercayaan, kita tidak perlu nak curiga. Tapi aku silap. Malam tu, aku jumpa mesej dia dengan lelaki lain.
Manisnya kata-kata tu sampai aku rasa aku tak pernah dapat layanan macam tu.

Bila aku tanya, dia menangis. Katanya, aku dah berubah, dah tidak peduli. Dia salahkan aku, walhal aku bekerja siang malam untuk pastikan hidup kami selesa.
Katanya lelaki tu faham dia, buat dia rasa ‘hidup’. Masa tu aku rasa macam seluruh dunia runtuh, tapi aku senyum juga, sebab kalau aku tunjuk betapa hancurnya aku, dia mungkin takkan peduli pun.
Sekarang, dia dah pergi. Aku tidak kejar, aku tidak pujuk. Aku belajar, kadang-kadang, orang yang kita sangka akan setia, sebenarnya cuma menunggu masa untuk lepaskan tangan kita.
Dan bila masa tu sampai, kita tidak boleh buat apa-apa, selain biarkan mereka pergi dan belajar hidup dengan hati yang penuh parut.
Kamarul
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Kamarul kerana berani berkongsi sesuatu yang begitu peribadi dan menyakitkan.
Dang tahu bukan mudah untuk Kamarul membuka kembali luka yang masih belum sembuh, apatah lagi bila kepercayaan yang selama ini dijaga, dikhianati oleh orang yang kita paling percaya.
Bila seseorang yang kita sayang memilih untuk berpaling, lebih-lebih lagi dengan alasan yang menyalahkan kita, ia sudah pasti membuatkan awda rasa kecil hati, tak cukup, malah hilang nilai diri.
Namun penting untuk Kamarul tahu bahawa usaha, kesetiaan, dan kasih sayang awda yang dicurahkan selama ini tetap bermakna, walaupun tidak dihargai olehnya.
Rasa kecewa dan hampa bukanlah kelemahan awda, tapi bukti betapa dalamnya awak pernah menyayangi. Ia juga bukti yang awda telah menunaikan apa yang perlu sebagai seorang suami.
Apa yang terjadi kepada Kamarul haruslah dijadikan pengajaran juga. Ada baiknya bersikap jujur dan berterus terang terhadap pasangan.
Juga ada baiknya sikap berhati-hati dengan hubungan yang bakal dibina pada masa akan datang.
Bukannya tidak mempercayai, tetapi berhati-hati dan berterus terang.
Jangan biar pengalaman pahit ini menjadi tembok yang menutup peluang untuk pulih.
Awda berhak untuk bahagia semula, walaupun ambil masa. Parut di hati mungkin tak hilang, tapi ia akan jadi tanda kekuatan.
Dang harapkan Kamarul berjaya pulih dari kekecewaan dan berupaya membina hubungan baharu dengan seseorang yang lebih menghargai kesetiaan awda.









