Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Pasukan Setia Perdana muncul juara Liga Perdana Brunei DST 2017, yang berakhir dengan perlawanan di antara IKLS FC bertemu dengan DSP United dengan kemenangan berpihak kepada IKLS FC dengan jaringan 2-1 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang Liga Perdana Brunei DST musim ini ialah Penolong Pengurus Besar Divisyen Teknikal DST, Christopher Phan.
Juara disandang oleh Pasukan Setia Perdana diikuti oleh Pasukan IKLS FC yang melonjak dari kedudukan kelima setelah meraih 12 mata, manakala tempat ketiga diraih oleh Pasukan BSRC FT.
Kejohanan kali ini turut menyaksikan Mohd Nurhidayatullah yang menjaringkan kedua-dua gol IKLS FC di dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Brunei DST 2017 turut dinobatkan Pemain Terbaik dan Pasukan Tabuan Muda B diumumkan sebagai Pasukan Fair Play musim ini.
IKLS membenam harapan DSP United yang hanya mampu meraih satu jaringan sagu hati melalui Abdul Hafiz Azmin pada minit ke-90 untuk menduduki tangga ketiga liga.


Ketika ditemui sejurus acara penyampaian hadiah malam tadi, Pengurus Pasukan Setia Perdana, Haji Lalim Haji Piut menyatakan rasa berbesar hati dengan komitmen dan kesungguhan semua pemain dalam cabaran liga kali ini.
Menurutnya lagi, beliau belum lagi merancang sebarang perubahan untuk ke Liga Super tahun hadapan, namun menegaskan akan melihat kepada perkembangan pasukan selepas ini sebelum membuat sebarang keputusan untuk beraksi ke Liga Super.