ATHENS, 18 DIS – Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis semalam mengumumkan subsidi 10 peratus untuk pembelian makanan setiap keluarga demi membantu memerangi bebanan inflasi.
“Mulai Februari depan, kerajaan akan membayar 10 peratus pembelian setiap keluarga selama enam bulan di pasar raya dan perniagaan makanan seperti kedai roti, pastri dan pasar ikan,” beritahu Perdana Menteri kepada parlimen sebelum pengundian mengenai belanjawan negara 2023.
“Langkah itu akan menelan kos 650 juta euro (AS$690 juta), jumlah yang akan dibayar dengan mengenakan cukai ke atas pendapatan lebihan dua kilang penapis Greece,” jelas Mitsotakis. Individu akan menerima maksimum 220 euro. Bagi keluarga besar dengan beberapa penerima, jumlah keseluruhan akan ditetapkan pada 1,000 euro.
Penerima faedah terdiri daripada keluarga dengan pendapatan 24,000 euro setiap pasangan suami isteri, dengan 5,000 euro tambahan untuk setiap anak. Menurut Kementerian Kewangan, krisis tenaga dan kesan peperangan ke atas ekonomi di Ukraine akan terus menjejas ekonomi Greece menerusi inflasi dan kemelesetan pertumbuhan ekonomi di zon euro.
“Sejumlah lapan bilion euro akan diperuntukkan pada peringkat negara,” katanya.
“Tiga setengah bilion euro akan disalurkan kepada keluarga dan 4.8 bilion kepada perniagaan. Subsidi elektrik dan gas asli akan diteruskan sementara 500 juta euro tambahan akan diperuntukkan kepada elaun pemanasan.” – AFP


