HANOI, 29 OGOS – Setiap rakyat Vietnam akan menerima VNĐ100,000 (AS$3.8) sempena sambutan ulang tahun ke-80 Revolusi Ogos dan Hari Kebangsaan pada 2 September, menurut pejabat Perdana Menteri.
Perkara itu dimuktamadkan menerusi Telegram rasmi negara berkenaan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kelmarin, selepas cadangan Jawatankuasa Parti Kerajaan diluluskan Politburo. Bayaran akan diagihkan secara pemindahan bank atau tunai sebelum 2 September di seluruh negara. Dengan populasi melebihi 101 juta orang setakat April 2024, program itu dijangka menelan kos lebih VNĐ10 trilion (AS$380 juta).
Kementerian Kewangan diberi tanggungjawab menyelaras peruntukan belanjawan dan memastikan keseimbangan fiskal, manakala Bank Negara Vietnam akan menjamin kelancaran sistem pembayaran dan kecukupan bekalan tunai.
Selain itu, Kementerian Keselamatan Awam, jawatankuasa rakyat tempatan dan agensi lain akan memastikan pengagihan diadakan dengan selamat, tepat dan menyeluruh tanpa sebarang pertindihan. – ANN/Vietnam News


