Saturday, December 28, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Setiausaha Agung PBB bimbang keganasan selepas pilihan raya di Mozambique 

    WASHINGTON, 27 DIS – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan kebimbangannya terhadap pergolakan di Mozambique susulan keputusan pilihan raya baru-baru ini, menurut jurucakap bersekutunya seperti dilaporkan agensi Anadolu kelmarin. 

    “Setiausaha Agung bimbang terhadap keganasan selepas pilihan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta awam dan persendirian,” kata Stephanie Tremblay kepada pemberita. 

    Guterres terus memantau perkembangan dengan rapat dan menyeru semua pemimpin politik serta pihak berkepentingan untuk meredakan ketegangan, katanya. 

    “Beliau menggesa mereka untuk mencari penyelesaian secara damai melalui dialog yang bermakna dan tindakan undang-undang, menghindari penggunaan kekerasan serta memperhebatkan usaha ke arah penyelesaian konstruktif. Ini penting demi masa depan bersama rakyat Mozambique,” kata Tremblay. 

    Protes ganas melanda negara itu sejak pilihan raya presiden diadakan pada 9 Oktober, mengorbankan 248 nyawa termasuk 33 orang dalam insiden di penjara pada Rabu, menurut Plataforma Decide, sebuah kumpulan pemantau pilihan raya. 

    Lebih 1,500 banduan melarikan diri dari Penjara Pusat Maputo di Matola, kira-kira 15 kilometer dari ibu negara Maputo, di mana pihak polis melaporkan kematian. 

    Protes bermula pada penghujung Oktober selepas Daniel Chapo dari parti pemerintah, Mozambique Liberation Front (Frelimo) diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya presiden, mengalahkan ketua pembangkang utama, Venancio Mondlane.

    Mondlane menolak keputusan pilihan raya itu, mendakwa berlaku penipuan undi secara besar-besaran dan menyeru para penyokongnya untuk turun ke jalanan.

    Beliau turut berikrar untuk melantik dirinya sebagai presiden pada 15 Januari 2025. – Bernama

    Sebuah kedai menjual alat elektronik rosak teruk di Maputo pada 24 Disember 2024. Antonio Guterres menyuarakan kebimbangannya terhadap pergolakan di Mozambique susulan keputusan pilihan raya baru-baru ini.- AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda