Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Setiausaha Perbendaharaan AS Yellen tiba di China

    GUANGZHOU, 5 APRIL – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Janet Yellen memulakan lawatan ke China yang dijangka berlangsung selama beberapa hari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). 

    Pesawat yang membawa Yellen mendarat di pusat industri selatan China, Guangzhou pada tengah hari kelmarin, lapor stesen televisyen Kerajaan China. 

    Yellen berkata beliau mahu bertemu dengan wakil daripada syarikat AS dan Kerajaan China.

    “Semasa berada di China, saya akan menumpukan kepada hubungan ekonomi yang sihat dan menyediakan persaingan adil untuk firma dan pekerja Amerika,” katanya dalam hantaran di laman X (Twitter) sebelum ketibaannya.

    Satu pertemuan dengan Perdana Menteri Li Qiang dijadualkan pada Ahad di Beijing. Jabatan diterajui Yellen bertanggungjawab untuk dasar kewangan dan ekonomi.

    Lawatan beliau adalah susulan daripada perbualan telefon hampir dua jam antara Presiden AS Joe Biden dan Ketua Negara dan Kerajaan China, Xi Jinping yang digambarkan oleh Washington sebagai  “terbuka dan membina.”  

    Pemimpin kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu juga membincangkan persaingan ekonomi antara mereka. Biden dikatakan telah menyuarakan kebimbangannya mengenai dasar perdagangan China yang didakwa tidak adil dan pentadbirannya akan terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan teknologi terkini daripada digunakan untuk menjejaskan keselamatan AS.

    Xi pula  dalam panggilan telefon itu mendakwa langkah diambil AS  telah mengekang pembangunan China dalam perdagangan dan teknologi. – Bernama

    Janet Yellen (kiri) berjabat tangan dengan timbalan setiausaha parti dan gabenor Guangdong, Wang Weizhong, sebelum mesyuarat di Pusat Persidangan Antarabangsa Baiyun (BICC) di wilayah Guangdong, selatan China, pada hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda