Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Setiausaha Pertahanan AS buat penampilan pertama sejak dimasukkan ke hospital

    WASHINGTON, 24 JAN – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin kelmarin membuat penampilan pertamanya sejak dimasukkan ke hospital kerana komplikasi daripada rawatan kanser – sesuatu yang disembunyikannya daripada Rumah Putih dan Kongres selama beberapa hari.

    Austin, yang dimasukkan ke Walter Reed pada 1 Januari dan menghabiskan dua minggu di hospital tentera itu, bercakap melalui panggilan video dari kediamannya pada pembukaan mesyuarat mengenai bantuan untuk perjuangan Ukraine menentang pencerobohan tentera Rusia.

    “Keselamatan seluruh masyarakat antarabangsa dipertaruhkan dalam perjuangan Ukraine. Saya lebih bersemangat berbanding sebelum ini untuk bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi kita untuk menyokong Ukraine dan menyelesaikan tugas ini,” kata Austin di hadapan jata Jabatan Pertahanan dan bendera kecil AS dan Ukraine.

    Beliau menekankan pakej bantuan ketenteraan AS$250 juta yang diumumkan oleh Washington bulan lalu, tetapi tidak memperincikan sebarang bantuan baharu dari AS, dengan dana yang telah kering dan Republikan enggan meluluskan lebih banyak sehingga Presiden Joe Biden bersetuju dengan tuntutan mereka untuk mengekang penghijrahan di sempadan Mexico.

    Komen yang telah disediakan Austin – yang disiarkan di laman web Jabatan Pertahanan – termasuk rujukan kepada kesihatannya, “Seperti yang awda dapat lihat, saya menyertai dari rumah hari ini. Saya berasa baik dan tidak sabar untuk kembali ke Pentagon tidak lama lagi.” – AFP

    Dalam video Jabatan Pertahanan, Austin memberikan ucapan pembukaan pada 23 Januari dari rumahnya di Great Falls, Virginia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda