Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Setinggi Michael Jordan, seberat sebuah kereta

    SYDNEY, 29 Nov – Saiznya yang luar biasa besar daripada lembu biasa dengan berat melebihi sebuah kereta kecil, menjadi tumpuan media sehingga akhbar tempatan di Australia menggelarnya sebagai lembu terbesar di negara itu.

    Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Mail Online, pemilik lembu seberat 1,400kg itu, Geoff Pearson memberinya nama sebagai Knickers dan mempunyai ketinggian sama dengan bintang bola kerajang NBA, Michael Jordan kira-kira 194 sentimeter sehingga menjadikan haiwan berkenaan sukar untuk dieksport kerana saiznya yang terlalu besar.

    Sekalipun tidak dapat dieksport, Knickers secara tidak langsung memainkan peranan penting kepada tuannya, ini kerana keberadaan Knickers akan memudahkan pemiliknya mengesan lokasi kawanan lembunya ketika haiwan tersebut keluar meragut rumput. Ini kerana lembu-lembu ternakan Pearson sering kali tertarik dengan saiz badan Knickers yang luar biasa itu.

    “Setiap kali Knickers bangun dan mula berjalan, ratusan lembu lain akan mengikutnya dan secara tidak langsung, kami boleh mengesan pergerakan kawanan tersebut,” jelas Pearson.

    Berdasarkan Guinness World Record, lembu terbesar di dunia adalah seberat 2,267 kilogram manakala lembu tertinggi pula berukuran lebih dua meter.

    Sementara itu, seorang pakar lembu tenusu, Rupert Mothersole berkata, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada tumbesaran luar biasa lembu termasuklah pemilihan genetik untuk pembiakan.

    Tambahnya, sekiranya seekor lembu dimandulkan pada usia muda, maka situasi itu memberi peluang kepada haiwan berkenaan untuk membesar secara luar biasa seperti Knickers.

    Secara purata, saiz lembu biasa adalah seberat 630 kilogram dengan purata saiznya meningkat sehingga 18 peratus dalam tempoh dua dekad lalu. – Agensi

    Gambar diambil pada 15 November lalu menunjukkan seekor lembu tenusu terbesar dikenali sebagai Knickers berada di kawasan ragut di Lake Preston, Australia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda