Selepas lebih setahun dibebaskan, bekas anggota kumpulan Korea, Big Bang iaitu Seungri buat pertama kali tampil dalam satu temu bual berkongsi perkembangan terkini dirinya.
Memetik laporan mStar, menjawab dakwaan kononnya dia kini tidak lagi tinggal di Korea Selatan, kata Seungri dia masih lagi menetap di Seoul namun kerap ke luar negara bagi memenuhi jemputan rakan-rakan.
Bahkan dia juga menafikan khabar angin kononnya dia kini membuka perniagaan di China.
“Saya sekarang tinggal di Seoul. Saya ke luar negara atas jemputan perkahwinan atau mahu meluangkan masa bersendirian. Saya juga tiada perniagaan di luar negara.
“Saya ramai kawan jadi mungkin orang anggap saya merancang sesuatu di luar Korea.

“Saya tidak membuat sebarang perancangan sebaliknya saya luangkan banyak masa bersama keluarga tanpa berbuat apa-apa,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi itu juga memberi bayangan dia tidak lagi bergiat aktif dalam dunia seni.
Malah katanya kini dia semakin jarang berjumpa dengan rakan-rakan yang bekerja dalam industri hiburan.
“Saya juga tiada terfikir ke arah itu (dunia seni). Cuma baru-baru ini saya ada bertemu rakan industri dan kami bercakap tentang kisah lama,” jelasnya.
Nama Seungri sebelum ini menjadi sebutan ramai selepas dia terlibat dengan skandal Burning Sun sehingga dikenakan hukuman penjara selama setahun enam bulan bermula Mei 2022.
Isu tersebut melibatkan kesalahan gangguan seksual dan rogol yang dilakukan pada tahun 2021. – Agensi