Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Para pelancong kapal persiaran kembali berlabuh dan singgah ke negara ini selepas terhenti akibat pandemik COVID selama beberapa tahun, dengan kapal terbaharu yang berlabuh di Pusat Kapal Persiaran, Pelabuhan Muara hari ini ialah Seven Seas Mariner.
Kapal tersebut merupakan yang kedua membuat persinggahan di negara ini selepas Oceania Nautica pada Jumaat lalu.
Seven Seas Mariner berlepas dari Miami, Florida dan membawa seramai 779 pelancong yang sebahagiannya disambut dengan persembahan hadrah ketika mereka turun dari kapal.
Penumpang kapal persiaran itu ditawarkan lawatan eksklusif ke tempat-tempat ikonik di Brunei seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Kampong Ayer.
Perjalanan bot safari bakau di sekitar Kampong Ayer juga merupakan sebahagian daripada lawatan yang ditawarkan, memberi peluang kepada penumpang pelayaran untuk merasai sendiri budaya Brunei dan melihat hidupan liar asli di sepanjang Sungai Brunei.
Sepanjang lawatan tersebut, pengunjung kali pertama telah memberikan maklum balas positif mereka apabila ditanya mengenai kunjungan singkat mereka ke negara ini.
Pasangan dari California, Tim Whitcomb dan Pamela Whitcomb, kedua-duanya menganggap pengalaman di negara ini sebagai pengalaman yang autentik lebih-lebih lagi melihat tempat yang belum pernah dikunjungi sebelum ini.
Isteri Tim pula menyatakan keterujaan melihat persekitaran indah, bersih dan sangat mesra di negara ini.
James, Hilary dan Maggie dari Amerika Syarikat (AS) pula menyifatkan lawatan hari ini sebagai suatu yang menarik dan berjaya mengunjungi beberapa tempat serta merakamkan gambar kenangan di beberapa mercu tanda ikonik seperti Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Jabatan Perdana Menteri dan Kampong Air yang bersejarah.
Mereka juga berkesempatan merasai masakan tempatan.
Salah seorang krew kapal persiaran, Tanner dari AS yang menyertai jelajah itu turut menyatakan pengalaman pertama kalinya di Brunei Darussalam adalah luar biasa dan tidak sabar untuk datang lagi pada masa hadapan.