MADRID, 2 Nov – Sevilla menempatkan diri mereka kembali dalam kedudukan utama untuk mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan jaringan di setiap separuh masa menerusi Clement Lenglet dan Ever Banega memastikan kemenangan tipis 2-1 ke atas Spartak Moscow awal pagi tadi.
Kemenangan itu meletakkan Sevilla di atas pasukan Rusia itu dalam Kumpulan E dengan tujuh mata, manakala Spartak mengutip lima mata dengan Liverpool menerajui kumpulan dengan lapan mata selepas menang 3-0 ke atas Maribor di Anfield.
Namun, pasukan dari Sepanyol itu dipaksa bekerja keras di saat-saat akhir selepas Ze Luis berjaya merapatkan kedudukan bagi Spartak pada minit ke-12.
“Kami bermain 75 minit menentang lawan yang sukar dan kami selayaknya menamatkan perlawanan dengan lebih tenang,” kata bos Sevilla, Eduardo Berizzo.
Tewas 5-1 di Moscow dua minggu lalu, Sevilla memerlukan kemenangan bagi mengekalkan nasib Liga Juara-Juara mereka.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P21-B_031117.jpg)
“Kami masih mempunyai baki dua perlawanan untuk layak tetapi ia adalah satu langkah penting,” kata Lenglet.
Sementara itu dalam aksi Kumpulan G, Besiktas terlepas peluang untuk memastikan tempat mereka dalam peringkat 16 terakhir apabila seri 1-1 dengan Monaco di Istanbul.
Juara Turki itu seharusnya mara dengan kemenangan tetapi kini perlu berharap untuk seri di laman sendiri menentang Porto untuk layak.
Porto menewaskan RB Leip-zig 3-1 di Portugal, dengan Hector Herrera, Danilo Pereira dan Maxi Pereira menjaringkan untuk Porto, sementara Timo Werner menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan Jerman itu.
Monaco, pasukan separuh akhir musim lepas, berada di kedudukan tercorot dan kelihatannya mempunyai peluang tipis untuk mara. – AFP