Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sevilla terlepas peluang dekati Real

    MADRID, 6 Feb – Samir Nasri gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua ketika Sevilla melepaskan peluang merapatkan kedudukan kepada satu mata dengan pendahulu La Liga, Real Madrid selepas seri 0-0 di laman sendiri menentang Villarreal kelmarin.

    Sepakan rendah pemain Perancis itu dengan mudah diselamatkan oleh penjaga gol Villarreal, Sergio Asenjo.

    Asenjo kemudiannya turut menyelamatkan cubaan bahaya menerusi tandukan Vicente Iborra ketika skuad yang memiliki barisan pertahanan terbaik La Liga itu bertahan meraih satu mata di Stadium Sanchez Pizjuan.

    Sevilla kini mengekori Madrid dengan tiga mata, namun juara Eropah itu memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

    Real dijadualkan beraksi awal pagi tadi tetapi pertemuan dengan Celta Vigo dibatalkan kerana cuaca buruk yang merosakkan sebahagian struktur Stadium Balaidos di Celta.

    Franco Vazquez (kiri) mengasak pemain tengah Villareal, Samuel Castillejo dalam aksi La Liga antara Sevilla dan Villareal yang berkesudahan seri 0-0. – AFP
    Franco Vazquez (kiri) mengasak pemain tengah Villareal, Samuel Castillejo dalam aksi La Liga antara Sevilla dan Villareal yang berkesudahan seri 0-0. – AFP

    Dalam perlawanan itu, Sevilla menguasai permainan tetapi mereka terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk melakukan beberapa cubaan terbaik.

    Tuan rumah diberikan sepakan penalti hanya selepas tiga minit separuh masa kedua bersambung apabila Vitolo dijatuhkan Mario Gaspar di dalam petak.

    Nasri mengambil penalti tersebut, namun sepakan pemain tengah yang dipinjam dari Manchester City itu tidak begitu bagus untuk menewaskan Asenjo, yang merebahkan badan ke sebelah kiri untuk mendakap kemas bola.
    “Kami layak mendapat lebih daripada ini,” kata jurulatih Sevilla, Jorge Sampaoli.

    “Tercicir dua mata adalah sangat mengecewakan memandangkan apa yang kami impikan.”

    Villareal kekal berada di tangga keenam, empat mata di belakang empat pasukan teratas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda