LA CRESCENTA – Tertekan dengan kenaikan mendadak harga telur dan pasar raya di Amerika Syarikat (AS) yang mula mengehadkan pembelian makanan ruji sarapan pagi itu Yong-mi Kim mengambil keputusan untuk memelihara ayam bagi menjamin bekalan sendiri di selatan California.
Walaupun ramai hanya berangan-angan untuk bertani di laman belakang rumah, bagi mereka yang belum bersedia untuk komitmen jangka panjang, kini wujud satu penyelesaian: menyewa kandang ayam lengkap dengan ayam penelur.
“Saya benar-benar mahu mencubanya dan lihat sama ada saya suka atau tidak,” kata penduduk di kawasan Los Angeles itu kepada AFP semasa menerima dua ekor ayam dan semua peralatan yang diperlukan untuk kehidupan ayam yang sihat dan gembira.
“Beberapa orang yang saya kenal membela ayam di rumah, tetapi ia sangat memenatkan kerana mereka terpaksa ubahsuai seluruh kebun mereka.
“Jadi saya fikir, menyewa ayam adalah permulaan yang baik.”
Trend menyewa ayam mula mendapat tempat di Amerika Syarikat kira-kira sedekad lalu di Pennsylvania apabila sepasang suami isteri petani menubuhkan perkhidmatan ‘Rent The Chicken’.
Sejak itu, projek tersebut berkembang ke lebih 40 bandar di seluruh Amerika Utara, dengan petani tempatan menubuhkan perkhidmatan mereka sendiri berdasarkan model tersebut.
Minat terhadap per-khidmatan ini meningkat semasa sekatan pergerakan akibat COVID-19, apabila ramai orang terperangkap di rumah.
Namun, permintaan melonjak lebih tinggi sejak beberapa bulan lalu apabila pengguna semakin tertekan dengan kenaikan harga telur yang mendadak, berpunca daripada penularan wabak selesema burung yang memaksa jutaan ayam penelur dimusnahkan secara besar-besaran.
“Terutamanya tahun ini, kami menerima minat yang jauh lebih tinggi, saya boleh katakan, tiga hingga empat kali ganda berbanding tahun lepas,” kata Victoria Lee, yang menguruskan perkhidmatan ini dari ladangnya di Agua Dulce, berhampiran Los Angeles.
Sesetengah rakyat Amerika terpaksa membayar lebih daripada AS$10 untuk dua belas biji telur, iaitu hampir tiga kali ganda daripada harga biasa, dengan pasar raya mengenakan had harian terhadap jumlah kotak telur yang boleh dibeli setiap pelanggan.
Harga yang membebankan ini turut menjadi isu dalam kempen pilihan raya presiden tahun lalu, dengan Presiden AS, Donald Trump berjanji akan menurunkan kos barangan runcit jika beliau kembali ke Rumah Putih.
Namun begitu, harga terus meningkat, dan menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, pada bulan Mac lalu, harga telur adalah 60 peratus lebih mahal berbanding tahun sebelumnya.
Walaupun begitu, Lee pantas menegaskan bahawa membela ayam di rumah bukanlah cara untuk menjimatkan wang berbanding membeli telur di kedai.
Sebaliknya, katanya, ia soal kualiti.
“Apabila telur sampai ke pasar raya, secara purata ia telah berusia antara 48 hingga 60 hari,” katanya.
“Apabila telur dibiarkan lama, tanpa mengira kualiti asalnya, protein dalam telur akan mula merosot dari semasa ke semasa.”
Sebaliknya, telur dari ayam di laman belakang hanyalah ikut masa yang diambil pemiliknya untuk memungutnya dari kawasan kandang.
Perkhidmatan ‘Rent the Chicken’ menawarkan beberapa pakej dari sekitar AS$500 hingga lebih AS$1,000 untuk tempoh enam bulan, bergantung kepada lokasi dan bilangan ayam yang dikehendaki.
Pakej tersebut termasuk ayam, makanan, bekas minuman dan makanan, makanan tambahan serta panduan penjagaan ayam.
Namun, yang paling menarik ialah kandang mudah alih yang disertakan seakan rumah mini dengan ‘teres’ kecil yang dilindungi pagar sepenuhnya.
Ia juga boleh dialihkan kerana dilengkapi roda di bahagian bawah.
“Setiap hari, pelanggan kami akan mengangkat dan menggerakkan kandang ini ke depan memberi ayam akses kepada rumput segar setiap hari.
“Ayam-ayam akan mengalami suasana padang ragut terbuka, dengan rangsangan baru, serangga baru untuk dicari, dan rumput baru untuk dikais, sambil tetap selamat dalam kandang kalis pemangsa.”
Kemudahan ini menjadikan pakej tersebut menarik perhatian Kim, seorang pensyarah universiti yang tinggal di La Crescenta, berhampiran Los Angeles, dan beliau begitu teruja apabila kandangnya tiba.
“Telur percuma!” kata Lee sambil memunggah ‘penyewa’ baru dan menyerahkan dua belas biji telur percuma yang dikutip minggu sebelumnya.
Seorang pelanggan yang menyewa dua ekor ayam boleh menjangkakan sehingga 14 biji telur seminggu, jelas Lee.
Kim, yang anak lelakinya merupakan seorang atlet dan banyak makan telur, berkata walaupun krisis bekalan mendorongnya untuk menyewa ayam, tujuannya lebih daripada itu.
“Saya sebenarnya mahu sesuatu untuk anak-anak, juga sebagai gaya hidup pembelajaran dan untuk membandingkan rasa telur itu sendiri,” ujarnya. – AFP