Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seychelles isytihar darurat berikutan letupan, banjir

    NAIROBI, 7 DIS – Presiden Seychelles, Wavel Ramkalawan mengisytiharkan keadaan darurat hari ini, mengarahkan rakyatnya tinggal di rumah berikutan letupan di stor bahan letupan dan banjir akibat hujan lebat menyebabkan kerosakan besar.

    Letupan berlaku di kawasan perindustrian di Mahe, pulau terbesar di kepulauan Lautan Hindi, menyebabkan kerosakan besar di tapak dan kawasan sekitarnya, kata jabatan presiden dalam satu kenyataan.

    Kepulauan itu terkenal dengan pantai putih yang indah dan pelancongan mewah walaupun sekitar 40 peratus daripada 98,000 penduduk negara itu hidup dalam kemiskinan.

    “Susulan letupan di stor bahan letupan CCCL yang telah menyebabkan kerosakan besar… dan kemusnahan besar yang disebabkan oleh banjir akibat hujan lebat, presiden telah mengisytiharkan Darurat untuk hari ini 7 Disember,” kata jabatan presiden.

    “Semua sekolah akan ditutup. Hanya pekerja dalam perkhidmatan penting dan orang yang melancong sahaja dibenarkan bergerak bebas. Ini bagi membolehkan perkhidmatan kecemasan menjalankan tugas penting,” tambah kenyataan itu.

    Lapangan terbang antarabangsa masih beroperasi dan perkhidmatan feri antara pulau-pulau disediakan untuk pelawat, kata negara yang bergantung kepada pelancongan itu dalam akaun rasmi, Visit Seychelles di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

    Perbadanan Penyiaran Seychelles (SBC) melaporkan bahawa hujan lebat semalam telah menyebabkan kerosakan serius di beberapa kawasan di Mahe.

    Gambar di akaun Facebook rasmi SBC menunjukkan rumah runtuh, pokok tumbang, tanah runtuh dan keretakan teruk di sepanjang permukaan jalan di Mahe. – AFP

    Orang ramai berkumpul untuk melihat kerosakan di sekitar bangunan kedai berikutan letupan di kawasan perindustrian Providence di Mahe, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda