LAS VEGAS – Ia bermula dengan lakaran kasar – Gambar satu bulatan dengan manusia lidi di dalamnya. Tujuh tahun kemudian, lukisan itu telah menjadi kenyataan: Sebuah venue sfera gergasi bernilai AS$2.3 bilion, setinggi 111 meter yang menerangi langit Las Vegas.
Lukisan itu pada awalnya dicipta oleh James Dolan, pengerusi eksekutif Madison Square Garden (MSG) serta pemilik pasukan New York Knicks dan Rangers. Beliau dan CEO MSG Ventures, David Dibble, cuba untuk mencipta pelan bagi memberikan nafas baharu kepada industri tempat hiburan di Las Vegas.
Kedua-duanya bereksperimen dengan bentuk berbeza untuk struktur itu – seperti sebiji muffin, sebuah kotak, malah sebuah piramid – sehingga Dolan melukis bulatan dan manusia lidi pada sebuah buku catatan. Ketika itulah, Sphere mula diperkenalkan.
Kini, visi Dolan telah menjadi kenyataan apabila venue berbentuk glob yang berteknologi tinggi miliknya membuka tirai bagi konsert residensi U2, UV Achtung Baby pada penghujung September lalu.
“Ia benar-benar satu medium baharu,” kata Dolan, berucap kepada media semasa sesi lawatan.
“Apabila awda berada di dalam Sphere, awda tidak akan diberitahu apa yang perlu dilihat. Penonton memutuskan apa yang mereka ingin fokuskan,” katanya.
Di dalam Sphere yang memiliki lebar 157 meter, terdapat skrin LED beresolusi tinggi yang meliputi hampir separuh daripada 17,500 tempat duduk penonton. Tempat itu dilengkapi dengan ribuan pembesar suara yang akan memberikan pengalaman ‘jelas dan tajam’.
Tempat itu turut menampilkan pelbagai tarikan teknologi, termasuk lima robot manusia interaktif yang diberi nama Aura.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” kata Dibble, yang menggantung lukisan asal Dolan selepas membawa gambar itu dalam beg galasnya.
“Semuanya daripada sistem audio dan rangkaian, paparan visual, sistem kamera yang disimpan – semuanya perlu memberikan pengalaman Sphere yang efektif,” jelasnya.
Venue canggih itu telah menjadi tarikan utama, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Ia menarik perhatian segera pada Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat dengan paparan bunga api digital, dengan perkataan Hello World.
Bersama dengan 25 konsert residensi U2, venue tersebut turut menawarkan produksi khas berjudul Postcard from Earth oleh pengarah filem, Darren Aronofsky.
Para pelancong dan penumpang pesawat juga telah melihat bebola cahaya tersebut daripada udara dengan imej Bumi atau Bulan. Watak-watak dari filem animasi akan datang, Trolls Band Together, telah muncul di bahagian luar LED dan mempromosikan single baharu NSYNC, Better Place, sebuah lagu soundtrack bagi filem itu.
“Itu sangat hebat,” kata Glenn NP Nowak, seorang profesor seni bina di Universiti Nevada, Las Vegas. “Ia seolah-olah tidak terungkap dengan kata-kata,” tambahnya.
Sphere menyerupai tarikan Spaceship Earth di taman tema Epcot di Walt Disney World, Florida. Reka bentuknya juga boleh dibandingkan dengan muzium Montreal Biosphere di Kanada dan Avicii Arena di Sweden.
Sphere bukanlah bangunan yang menjulang tinggi melepasi Strip seperti menara peninjau High Roller yang tingginya 158 meter yang dibuka oleh kasino gergasi, Caesars Entertainment pada 2014, atau menara dengan ketinggian 350 meter di Strat Hotel & Casino yang dibuka pada 1996.
Walau bagaimanapun, Sphere adalah tempat hiburan yang paling mahal yang dibina di Las Vegas, melebihi fasiliti sukan Stadium Allegiant bernilai kira-kira AS$1.9 bilion yang berkapasiti 65,000 tempat duduk yang dibuka pada 2020.
“Terdapat hype di sekelilingnya,” tambah Nowak, yang mengadakan lawatan di sekitar struktur tersebut bersama pelajar-pelajarnya pada pelbagai fasa semasa ia sedang dibina.
“Saya rasa itulah sebahagian daripada sebab orang tidak memahami sepenuhnya apa yang baru mereka lihat.”
Selain struktur yang Nowak gelar sebagai ‘keajaiban kejuruteraan’, beliau menyatakan kedudukannya yang canggih sebagai tarikan dalam ‘ekonomi pengalaman’ Las Vegas yang sedang berkembang.
Setiap tahun, Las Vegas telah menarik lebih daripada 40 juta pengunjung ke kawasan yang terkenal dengan kehidupan malam, spa, pertunjukan hiburan dan hidangan mewah yang eksklusif. Kebanyakannya tiba dengan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, yang mengendalikan hampir 53 juta penumpang pada 2022.
“Ini adalah pasaran yang sempurna,” kata Dolan. “Pasaran ini mengetengahkan pertumbuhan. Mereka menyambut baik idea meletakkan benda bulat dan besar yang bercahaya di tengah-tengahnya. Pasaran ini suka cahaya, ia suka pertunjukan, hiburan.
Sphere adalah tentang perkara-perkara ini. Kerajaan di sini sangat menyambut baik dan memberi sokongan,” ujarnya.
Projek tersebut bermula sebagai satu kerjasama dengan syarikat kasino, Las Vegas Sands, yang ketika itu memiliki menara resort Venetian dan Palazzo di Las Vegas Strip. Kini, Venetian yang mempunyai 35 tingkat dan Palazzo yang mempunyai 50 tingkat, dengan jumlah lebih daripada 7,000 bilik, menawarkan pemandangan dari atas terhadap Sphere.
Dolan berkata pemilik kasino pada mulanya menganggap venue itu akan menjadi ‘arena biasa’.
“Pemilik kasino bimbang tentang kehilangan tempat hiburan, jadi mereka perlu memiliki tempat mereka sendiri,” katanya. “Pada suatu ketika, kami memberitahu mereka ia bukanlah arena biasa. Mereka akhirnya benar-benar memahami konsep itu.”
Dolan percaya ramai yang lain akan menyertai Sphere, dan berharap untuk memperluaskan konsep ini ke seluruh dunia. Beliau percaya London mungkin menjadi lokasi seterusnya, dengan impian untuk suatu hari nanti membinanya di New York.
Tetapi buat masa ini, Dolan mahu menumpukan perhatiannya untuk membuktikan konsep Sphere.
“Saya berpuas hati dengan apa yang kami bina,” katanya.
“Saya rasa ia akan berjaya. Orang ramai akan menyukainya. Saya tidak berasa risau seperti dahulu lagi.” – AP