MILAN, 28 JUN – Stephan El Shaarawy (gambar bawah) dilaporkan menolak tawaran lumayan ke China dan sedia menandatangani kontrak baharu bersama AS Roma, laporan media Itali, semalam.
Penyerang Itali itu dilaporkan di ambang untuk menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama kelab Shanghai Shenhua dan memperoleh 16 juta euro semusim.
Tetapi Sky Sport Italia melaporkan pemain berusia 26 tahun itu mengubah fikirannya dan tidak mahu meninggalkan ibu negara Itali berkenaan.
Gazzetta dello Sport mendakwa kelab China berkenaan enggan mengikuti tuntutan pemain berkenaan yang mahu mempunyai ‘suara’ terhadap pemilihan jurulatih dan staf kejurulatihan.
Shanghai Shenhua, yang ketika ini menghuni tangga ke-12 Liga Super China dikemudi oleh bekas jurulatih Benfica, Atletico Madrid dan Watford, Enrique Sanchez Flores dari Sepanyol.
El Shaarawy yang diberi julukan ‘The Pharoah’ kerana susur-galurnya dari Mesir hanya mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Roma sejak menyertai kelab itu pada 2016 dari AC Milan selepas dipinjamkan ke Monaco.
Pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Itali sebanyak 23 kali itu dikatakan bersedia untuk menerima perjanjian baharu bernilai 4 juta euro setahun daripada Roma.
Dia menjaringkan 11 gol dalam kempen Serie A musim lalu ketika Roma menamatkan saingan di tangga keenam dan layak ke Liga Europa. – AFP