MIAMI, 9 APRIL – Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Sha’Carri Richardson memenangi perlumbaan solo pertama 2023 dengan penuh bergaya selepas mencatat masa 10.57 saat (s) untuk menjuarai acara 100 meter (m) Jemputan Miramar.
Hanya pemegang rekod dunia Florence Griffith-Joyner dan Elaine Thompson-Herah dari Jamaica yang pernah berlari lebih pantas, malah mendapat manfaat daripada bantuan angin 4.1 meter sesaat dan Sha’Carri memberikan amaran awal menjelang Kejohanan Dunia di Budapest pada Ogos depan.
Sha’Carri, yang memulakan saingan musim ini dalam saingan 4x100m berganti-ganti di Texas minggu lalu, sudah pun meraikannya apabila dia melepasi garisan penamat, dengan Twanisha Terry jauh berada di tempat kedua (10.83s).
Ia adalah satu lagi gambaran menarik mengenai bakat pelari berusia 23 tahun itu.
Dia cemerlang pada saingan ujian AS ke Olimpik pada 2021 tetapi namun impiannya untuk menang emas di Tokyo berakhir apabila dia diuji positif mengambil ganja dan digantung.
Tahun lalu dia gagal melayakkan diri dalam skuad Olimpik AS bagi beraksi di Kejohanan Dunia di Eugene, Oregon.
Dalam acara lain, Christian Coleman dari AS mengetepikan Letsile Tebogo dari Botswana untuk kemenangan tipis dalam 200m, kedua-dua mereka mencatat masa 20.00s dalam kelajuan 1.9m/s.
Ia adalah masa terpantas di dunia tahun ini, bertambah baik pada 20.05s yang dicatat oleh Terrence Jones di Austin minggu lalu. – AFP