Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shae tidak pernah patah semangat menyanyi

    Masalah pendengaran yang dialami sejak kecil tidak pernah dianggap sebagai satu penghalang buat penyanyi Shae untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian.

    Bagi Shae atau Sheryl Gething, 31, meskipun hanya dapat mendengar dengan sebelah telinga, ia sudah cukup menjadi satu rahmat besar buatnya untuk terus menghiburkan peminat.

    “Tuhan beri saya dua telinga dan kemudian sebelah menjadi pekak. Itu semua kerja Tuhan dan saya hanya berserah. Selagi boleh nyanyi saya akan terus menyanyi. Dengan satu telinga ini saya akan terus perjuangkan.

    “Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya dalam membuat persembahan. Untungnya zaman sekarang ada alat bantuan untuk penyanyi iaitu ear monitor. Selagi alat itu berfungsi dengan baik, tidak menjadi masalah untuk saya,” katanya kepada mStar.

    Shae ditemui selepas tamat konsert minggu ketiga program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

    Shae mula menyedari masalah yang dialami sejak bangku sekolah. – mStar

    Dia sebelum itu mendedahkan telinga kiri tidak dapat mendengar sepenuhnya dan masalah tersebut mula dialami sejak di bangku sekolah.

    Menyedari tentang tahap pendengaran ketika di sekolah, Shae bagaimanapun tidak menceritakan perkara sebenar kepada ibu bapanya, lapor mStar.

    “Sejak sekolah rendah saya sudah mula rasa ada masalah susah mendengar tetapi saya tidak pernah cerita kepada ibu bapa. Saya juga banyak penyakit lain dan sering dibawa ke hospital, sebab itu tidak beritahu ibu bapa tentang masalah telinga.

    “Sehinggalah umur 16 tahun saya baru cerita kepada ibu bapa dan melakukan pemeriksaan. Tiga doktor pakar yang ditemui memberitahu telinga kiri saya pekak secara total,” ujarnya.

    Menurut penyanyi lagu Sayang ini, doktor juga pernah memberi cadangan untuk melakukan pembedahan susulan masalah yang dialami.

    Dia juga difahamkan punca telinganya tidak dapat mendengar adalah disebabkan masalah saraf.

    “Apabila melakukan pemeriksaan, telinga saya dalam keadaan sihat. Tetapi ia seperti saraf telinga dan otak tidak bersambung. Gelombang suara boleh masuk ke telinga tetapi tidak sampai ke otak.

    “Doktor pernah beri cadangan untuk melakukan pembedahan namun tiada jaminan akan pulih semula,” jelasnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda